Malaysia konsisten bersama suara global, gesa gencatan senjata di Gaza, Lubnan - Anwar
Syafik Shukri Jalil
Oktober 11, 2024 12:40 MYT
Oktober 11, 2024 12:40 MYT
VIENTIANE: Malaysia bersama suara global terus konsisten mendesak agar gencatan senjata dapat direalisasikan dengan segera di Gaza dan Lubnan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan seruan itu bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih teruk di kawasan konflik.
Antara lain, ia bagi memastikan sebarang tindakan yang mampu memburukkan lagi keadaan di rantau Asia Barat dihentikan serta-merta.
Pada masa sama, Kerajaan turut mengulangi pendirian menyokong pelan tiga fasa yang diusulkan bagi mencapai keamanan di Gaza serta menggesa agar ia dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang syarat tambahan bagi menghentikan kekejaman ke atas penduduk di kawasan konflik.
Kenyataan itu disampaikan Perdana Menteri semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang turut disertai Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang-Sidang Berkaiitan, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, Anwar turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan AS menyelesaikan isu-isu tertunggak seperti persetujuan pelaksanaan Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Malaysia juga mengusulkan kerjasama dalam program-program pembangunan kapasiti yang merangkumi modal insan, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, serta pembangunan bandar mampan, selari dengan komitmen negara terhadap pembangunan lestari.
Sebelum persidangan ini, Anwar turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Blinken, pada Khamis.