Malaysia kini dilihat pasif, hilang taring suarakan isu kemanusiaan - ABIM
Astro Awani
Oktober 9, 2022 18:46 MYT
Oktober 9, 2022 18:46 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia kini dilihat agak pasif dalam menyuarakan isu kemanusiaan dan konflik antarabangsa yang berlaku di dalam dunia.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, situasi itu agak mengecewakan dan seolah-olah negara sudah hilang taringnya sebagai kuasa tengah berbanding ketika era 1990-an dulu.
“Mungkin antara faktornya, kerana kedudukan negara kita tidak sekuat tahun 1990-an dulu dan mungkin kita juga harus melihat kembali dasar luar negara.
“Untuk masa depan, saya fikir sudah tiba masanya Wisma Putra membentangkan satu Kertas Putih, polisi jangka panjang Kementerian Luar berhubung isu kemanusiaan.
“Bila sebut isu kemanusiaan itu, kita tidak harus keliru dan menumpukan kepada hak asasi warga dunia untuk amalkan agama masing-masing, untuk dapatkan hak pendidikan, hak asasi.
“Kita harus faham itu adalah neraca dunia, neraca pertimbangan bahawa kita berkongsi kepentingan sejagat dan tiada niat untuk kita mencampuri urusan dalaman sesebuah negara,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap keputusan undian Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam yang secara undian menolak usul untuk mendebatkan Resolusi PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia yang menyatakan wujud jenayah kemanusiaan yang dilakukan kerajaan China terhadap etnik Uyghur.
Malaysia dilapor mengambil pendirian berkecuali semasa undian itu.