Malaysia kecewa kurang kemajuan ASEAN tangani krisis di Myanmar - PM Anwar
Astro Awani
Mei 10, 2023 13:53 MYT
Mei 10, 2023 13:53 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan kekecewaan terhadap kekurangan kemajuan ASEAN dalam menangani krisis kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar, yang kini memasuki tahun ketiga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi di Myanmar masih mencabar namun semua anggota ASEAN kekal memberi sokongan kepada Indonesia selaku pengerusi ASEAN tahun ini untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menyelesaikan krisis di negara itu.
Dalam respons kepada The Star, Perdana Menteri menambah seperti dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN pada November tahun lalu, 5PC akan tetap menjadi rujukan sah ASEAN dan harus dilaksanakan secara keseluruhan.
"Malaysia berasa kecewa kerana masih terdapat kekurangan kemajuan yang bermakna dan sebenar terhadap 5PC.
"Kami kekal menyokong usaha utusan khas pengerusi (Indonesia)," kata Perdana Menteri kepada akhbar itu pada Rabu.
Antara agenda 5PC ialah menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan dialog politik yang inklusif diadakan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia mengambil perhatian bahawa Indonesia telah melakukan 60 pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar dan kemajuannya masih perlahan.
Perdana Menteri yang kini berada di Labuan Bajo, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 juga memberi jaminan bahawa Malaysia akan menggunakan hubungan baik dengan negara-negara lain bagi menyokong usaha komuniti antarabangsa dalam menangani krisis di Myanmar.
"Malaysia akan bekerjasama rapat dengan utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam hal beliau.
“Penyelesaian damai di Myanmar hanya boleh dicapai menerusi kehendak kolektif semua pihak yang terlibat di Myanmar untuk menjunjung aspirasi rakyat Myanmar seperti yang dicerminkan dalam pilihan raya umum pada November 2020,” tambah Anwar.