Malaysia kecam serangan peluru berpandu ke atas Mekah - Anifah
Astro Awani
November 17, 2016 22:11 MYT
November 17, 2016 22:11 MYT
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu balistik ke atas Arab Saudi khususnya bumi Mekah baru-baru ini dan mendesak agar pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan serangan puak Houthi Yaman itu sebagai satu tindakan yang tidak menghormati tanah suci Islam.
"Mekah adalah tempat yang paling mulia dan paling suci bagi umat Islam. Perbuatan pencerobohan adalah satu tindakan yang jelas tidak menghormati kesucian tempat suci itu. Ia adalah satu perbuatan yang amat dikesali dan bertentangan dengan ajaran serta prinsip Islam.
"Kita mesti kekal bersatu dan tidak membenarkan serangan seperti ini berlaku lagi ke atas tapak suci Islam," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Anifah kini berada di Mekah bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mesyuarat itu adalah bagi membincangkan serangan peluru berpandu puak Houthi Yaman ke atas Arab Saudi pada 9 dan 27 Oktober lepas.
Dalam kenyataan itu, Malaysia juga secara rasmi memperakui pelantikan Dr Yusuf Ahmed Al-Othaimeen sebagai Setiausaha Agung OIC yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Iyad Ameen Madani yang meletak jawatan 31 Oktober lalu atas faktor kesihatan.