Malaysia kecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

Bernama
Mei 31, 2022 12:41 MYT
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera menuntut rejim Israel menghentikan sebarang tindakan provokasi bagi menjamin keamanan dan kestabilan. - REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan oleh pelampau dan pegawai Israel di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya pada Ahad.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata pencerobohan yang dirancang di tapak suci umat Islam dan perhimpunan perarakan bendera di Kota Lama adalah satu provokasi dan pelanggaran yang jelas terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa serta kawasan sekitarnya.
Serbuan terbaharu di Masjid Al-Aqsa itu sememangnya merupakan tindakan pencerobohan oleh rejim penjajah dan pelampau Israel yang akan menyemarakkan lagi api permusuhan di dalam serta di luar rantau itu, menurut kenyataan itu.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera menuntut rejim Israel menghentikan sebarang tindakan provokasi bagi menjamin keamanan dan kestabilan, kata Wisma Putra.
"Malaysia berdiri teguh dengan solidariti bersama rakyat Palestin, dan menegaskan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam," kata kenyataan itu.
Malaysia juga menegaskan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel, sekaligus merealisasikan aspirasi untuk sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota.
Menurut laporan media, beribu-ribu penduduk Israel mengadakan perarakan bendera pada Ahad untuk menyambut hari penyatuan Baitulmaqdis, iaitu pencerobohan Israel di bandar itu pada 1967.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, lokasi terletaknya kompleks Masjid Al-Aqsa, semasa perang Arab-Israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar pada 1980, dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Pertempuran sekitar perarakan bendera tahun lalu membawa kepada serangan 11 hari Israel di Semenanjung Gaza dengan lebih 260 rakyat Palestin terbunuh dan beribu-ribu yang lain cedera. Tiga belas warga Israel turut terbunuh dalam kebakaran di Gaza semasa konflik itu.
Ia serangan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan keganasan dihentikan di bawah gencatan senjata dengan Mesir sebagai perantara.
-- BERNAMA
#Masjid Al-Aqsa #Wisma Putra #Israel #Palestin #Gaza #Malaysia #Kementerian Luar
;