Malaysia julung kali sediakan Pavilion di MWC Barcelona 2024 - Fahmi

Bernama
Februari 24, 2024 06:40 MYT
MWC 2024 merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa, Groupe Speciale Mobile Association (GSMA). - Foto BERNAMA
BARCELONA: Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC 2024) yang akan berlangsung di sini Isnin ini bakal menyaksikan kemunculan Pavilion Malaysia buat julung kali sejak ia bermula 18 tahun lepas.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kemunculan pavilion itu penting buat negara kerana sebelum ini Malaysia hanya menyertainya menerusi sebuah reruai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
"MWC merupakan peluang cukup baik untuk kita tunjukkan bagaimana dengan pentadbiran Kerajaan MADANI hari ini yang memberi fokus memudah cara terutama dalam proses perniagaan, dari segi kelulusan, pemberian permit dan sebagainya.
Jadi keutamaan kerana kita ingin lihat pelaburan meningkat, bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara yang strategik lokasinya bukan hanya untuk pusat pemprosesan data tetapi juga hab operasi bagi banyak syarikat," katanya kepada Bernama dan RTM di sini pada Sabtu.
Fahmi berkata beliau percaya kewujudan Pavilion Malaysia menunjukkan kesesuaian Malaysia dan kesediaan Kerajaan MADANI untuk menarik lebih banyak pihak dan syarikat yang melihat kemungkinan mereka memerlukan lokasi untuk bertapak di Asia Tenggara dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan mereka.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berada di Barcelona untuk mengetuai delegasi Malaysia di MWC 2024. Beliau dijadualkan menyampaikan ucaptamanya pada majlis pembukaan Pavilion Malaysia, Isnin ini.
MWC 2024 merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa, Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang bakal mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.
Selain syarikat telekomunikasi, Pavilion Malaysia yang diketuai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga akan mempamerkan reruai daripada agensi kerajaan seperti MDEC dan CyberSecurity Malaysia.
Fahmi berkata sepanjang kongres empat hari itu, beliau juga akan menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan syarikat dan agensi termasuk GSMA dan Huawei.
"Ia sudah pasti akan cerminkan hubungan strategik yang ingin dijalinkan untuk pastikan ada kelestarian dan kemampanan dalam ekosistem telekomunikasi di Malaysia.
Insya-Allah kita akan berkolaborasi bersama agensi dan jabatan-jabatan lain untuk pastikan ia cerminkan hasrat Malaysia untuk menjadi antara negara yang dengan pantas melaksanakan transformasi digital seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Selain itu, Fahmi dijadualkan menghadiri beberapa mesyuarat dua hala yang antaranya akan menumpukan perkara berkaitan jawatan Pengerusi ASEAN yang akan disandang Malaysia tahun hadapan.
"Jadi kita lihat banyak negara sedang berbincang tentang isu keselamatan dalam talian dan platform media sosial, jadi saya lihat antara hubungan yang saya harap dapat ditingkatkan antara kerajaan-kerajaan termasuk di rantau Asia Tenggara adalah dalam bidang media sosial dan apa disebut sebagai perdagangan sosial.
Kita lihat sekarang ini beberapa platform menyediakan kemudahan berdagang dalam talian yang juga berkait aspek sosial, jadi ada negara hadapi kesukaran kerana mereka boleh dianggap kecil, tapi kalau lihat sebagai contoh ASEAN, itu cukup besar," katanya.
-- BERNAMA
#MWC 2024 #Pavilion Malaysia #Fahmi Fadzil #ekonomi
;