Malaysia, Indonesia tekankan kepentingan koridor kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza - Zambry
Bernama
Oktober 15, 2023 14:06 MYT
Oktober 15, 2023 14:06 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia menekankan kepentingan koridor kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza bagi menangani segera krisis kemanusiaan yang sedang melanda.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata perkara itu dibincangkan antara beliau dan rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi melalui panggilan telefon.
"Kami juga berbincang mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh ASEAN dalam hal ini, serta Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan datang," kata Zambry di platform X, pada Ahad.
Zambry berkata beliau turut menghantar mesej kepada rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu, serta Menteri Luar II Brunei untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
Israel mengingkari seruan antarabangsa untuk menghentikan serangan dan rejim itu turut memotong bekalan air dan elektrik ke Gaza yang memburukkan lagi situasi kemanusiaan.
Semenanjung Gaza dengan populasi hampir 2.2 juta orang telah sekian lama berada di bawah kepungan Israel sejak 2007.
-- BERNAMA