Malaysia, Indonesia pertingkat kerjasama sektor pendidikan tinggi
Bernama
Julai 18, 2023 06:45 MYT
Julai 18, 2023 06:45 MYT
JAKARTA: Malaysia dan Indonesia hari ini meningkatkan kerjasama sektor pendidikan tinggi di bidang perubatan, sains dan teknologi serta pembangunan penyelidikan dan inovasi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, kementerian melalui agensi dan universiti di Malaysia telah melaksanakan pertukaran empat Memorandum Perjanjian (MoA), lima Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Memorandum Kerjasama (MoC) dengan agensi dan universiti di Indonesia.
"Kita mahu membawa kerjasama hubungan kedua negara dalam sektor pendidikan tinggi kepada satu tahap yang lebih tinggi untuk memberi manfaat kepada institusi pendidikan dan negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen memorandum di sini.
Mohamed Khaled, yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Indonesia bermula Ahad, berkata: "Malaysia sedia menerima lebih ramai pelajar dari Indonesia untuk memastikan matlamatnya melahirkan bakat untuk keperluan Indonesia menjadi negara maju."
Menyentuh mengenai MoU, beliau berkata, Universiti Teknologi Malaysia dan Badan Riset dan Inovasi Nasional Indonesia akan menubuhkan Satellite Office untuk menghasilkan impak penyelidikan dan pembangunan bakat khususnya dalam bidang kebitaraan kejuruteraan dan teknologi.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan PT Tracol Asia akan membuka Pusat Pesisir UKM di Jakarta untuk meneroka bidang pengajian pendidikan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
Universiti Malaya dan Universitas Negeri Malang akan berkongsi kepakaran dalam bidang ilmu sains bahan, sumber manusia, kemudahan penyelidikan dan geran penyelidikan bagi kedua-dua pihak yang dianggarkan bernilai RM5 juta.
Agensi Kelayakan Malaysia akan menubuhkan Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara untuk memperluas akses pendidikan di Sumatera Utara dan membolehkan 135 juta tenaga kerja di Indonesia dalam meningkatkan kelayakan akademik.
Universiti Tenaga Nasional dan Institut Teknologi PLN akan mewujudkan platform perbincangan dan merangka inisiatif strategik antarabangsa berfokuskan bidang tenaga dan menyumbang kepada rantau ASEAN mencapai objektif sifar karbon menjelang 2050.
Mengenai MoA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universitas Padjadjaran rancang menghasilkan 250 orang graduan Doktor Perubatan bagi tempoh lima tahun akan datang, manakala kerjasama UKM dan Universiti Pendidikan Indonesia fokus kepada aspek pengajaran, pembelajaran dan pembangunan kapasiti.
Universiti Utara Malaysia dan Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah Palembang pula bekerjasama meningkatkan kebolehpasaran program akademik dan kerjasama dengan UIN Sunan Ampel Surabaya membolehkan pelajar Indonesia mengikuti pengajian Sarjana tajaan Kementerian Agama Indonesia.
MoC antara Majlis Profesor Negara dan Forum Guru Besar Indonesia (FGBI) meliputi bidang pendidikan tinggi, diplomasi saluran kedua antara Malaysia dan Indonesia serta mengangkat 17 agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia-Indonesia.
FGBI adalah organisasi induk yang merangkumi dewan professor atau guru besar melebihi 200 buah universiti awam di Indonesia.
"Kerjasama kedua-dua buah negara melalui pertukaran ini dijangka akan membawa hasil anggaran dana penyelidikan dalam bidang sains dan tenaga berjumlah lebih RM10 juta," kata Mohamed Khaled.
Turut hadir di majlis Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Direktur Jenderal Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Prof. Ir. Nizam.
- BERNAMA