Malaysia-Indonesia perkukuh hubungan menerusi sastera
Bernama
November 5, 2013 07:21 MYT
November 5, 2013 07:21 MYT
Malaysia dan Indonesia maju selangkah lagi dalam usaha memperkukuh hubungan persahabatan - kali ini menerusi karya kesusasteraan dari kedua-dua negara.
Langkah itu dijayakan dua institusi penerbitan iaitu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Pustaka Obor Indonesia, yang telah menerbitkan secara bersama buku "Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia".
Antologi yang memuat koleksi 20 cerpen karya 10 penulis Indonesia dan 10 penulis Malaysia itu dilancarkan oleh Duta Besar Malaysia yang baru dilantik ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, di Pesta Buku Indonesia (PBI) 2013 di sini pada Isnin.
Karya-karya cerpen berkenaan mengetengahkan tema sejarah, perjuangan, jati diri bangsa, kecintaan kepada tanah air, yang kesemuanya meliputi resam kehidupan masyarakat Indonesia dan Malaysia.
Buku itu sekaligus menyediakan peluang kepada rakyat di kedua-dua negara untuk lebih memahami budaya masyarakat yang mempunyai banyak persamaan, walaupun kini terpisah oleh sempadan politik.
Zahrain dalam ucapan pelancaran buku itu berharap karya sastera dan bahasa akan lebih memantap hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Dulu kita tidak bersempadan, namun oleh sebab dasar penjajah kita telah bersempadan dan hari ini kita menjadi dua negara yang berdaulat.
"Dalam mempertahankan kedaulatan negara masing-masing, kita tidak harus lupa persamaan antara rakyat Malaysia dan Indonesia, banyak yang kita kongsi bersama seperti bahasa, budaya dan agama," katanya.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron dalam ucapannya berkata pelancaran buku itu adalah istimewa kerana ia merupakan hasil pertama kerjasama institut itu dengan Yayasan Pustaka Obor Indonesia, sejak penyertaan pertama delegasi Malaysia di PBI pada tahun lalu.
Sementara itu anggota lembaga penyelia Yayasan Obor Indonesia Taufik Abdullah berkata penerbitan buku antologi cerpen itu memberi peluang kepada rakyat Indonesia dan Malaysia untuk lebih mengenali penulis dan karya sastera dari kedua-dua negara itu.
Antologi cerpen itu disusun oleh Rahimidin Zahari bagi pihak Malaysia dan Naning Pranoto bagi pihak Indonesia.
Buku itu dijual dengan harga RM30 di Semenanjung Malaysia dan RM35 di Sabah dan Sarawak manakala di Indonesia dengan harga Rp75,000.
Pembelian boleh juga dibuat secara dalam talian iaitu di laman e-Beli-belah ITBM, ecommerce.itbm.com.my atau di laman web Yayasan Pustaka Obor Indonesia di www.obor.or.id.
#Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia
#Indonesia
#Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
#Malaysia
#Yayasan Pustaka Obor Indonesia