Malaysia, Indonesia ambil pendekatan positif, konstruktif kendali isu pekhidmat domestik

Bernama
Februari 21, 2022 23:57 MYT
Wisma Putra memaklumkan sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan. - Gambar hiasan/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia mencapai persefahaman untuk terus mengambil pendekatan positif dan konstruktif dalam mengendalikan isu-isu berkaitan pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI).
Persefahaman itu dicapai dalam perbincangan susulan Kementerian Luar (Wisma Putra) dengan Duta Indonesia ke Malaysia Hermono hari ini, bagi mendapatkan penjelasan lanjut susulan beberapa laporan media yang memetik kenyataan beliau berkenaan isu itu baru-baru ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan.
"Langkah sebegini adalah penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan itu.
Pendekatan positif dan konstruktif dalam isu pengambilan dan perlindungan PDI dapat memanfaatkan kedua-dua pihak dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia.
Perbincangan kali ini turut menyentuh status rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan PDI di antara Malaysia dan Indonesia serta pendekatan dan hala tuju yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak ke arah memuktamadkan rundingan dan pemeteraian MoU berkenaan dalam masa terdekat.
"Ini bagi memastikan proses pengambilan PDI diatur urus dengan baik dan isu perlindungan mereka terus diberi perhatian utama mengikut ketetapan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa di kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Perbincangan pertama dengan Duta Indonesia itu diadakan pada 16 Feb lepas.
Hermono baru-baru ini dilaporkan mengeluh mengenai layanan buruk terhadap pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan mempersoalkan terdapat banyak kes sedemikian di negara ini, namun hampir tiada di negara jiran, Singapura.
Dalam pada itu, Malaysia dan Indonesia sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 PDI dari negara jiran itu. Bagaimanapun, MoU berhubung projek itu masih belum dimeterai.
-- BERNAMA
#Malaysia #Indonesia #pekhidmat domestik #pembantu rumah
;