Malaysia gesa pergiat usaha penghapusan senjata nuklear

Madiha Abdullah
September 28, 2021 02:00 MYT
Tegas Saifuddin, perlucutan senjata nuklear kini menjadi keperluan kritikal dan satu-satunya jaminan mutlak adalah dengan penghapusan secara total senjata nuklear. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung kurangnya kemajuan dalam perkembangan penghapusan senjata nuklear.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataannya pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi bagi memperingati Hari Antarabangsa Penghapusan Senjata Nuklear di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), berkata, walaupun terdapat perkembangan positif sejak kebelakangan ini, usaha yang lebih gigih diperlukan dalam merealisasikan perkara tersebut.
“Semasa persidangan tinjauan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) tahun 1996, Malaysia menyatakan kebimbangan yang perlanjutan tanpa had tidak akan berfungsi sebagai insentif ke arah kesejagatan, tetapi akan menjadi kesatuan kepada negara-negara dengan senjata nuklear untuk mengekalkan senjata buat selama-lamanya.
“Kebimbangan ini masih berterusan sehingga hari ini. Bagi negara-negara yang memiliki senjata nuklear, mereka terus menegakkan potensi penggunaan senjata tersebut,” katanya dalam kenyataan video pada awal pagi Rabu.
Tegas Saifuddin, penghapusan senjata nuklear kini menjadi keperluan kritikal dan satu-satunya jaminan mutlak adalah dengan penghapusan secara total senjata nuklear.
Justeru, Malaysia menyambut baik Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang bermula pada Januari lalu, dan percaya ia akan mengukuhkan lagi norma global bahawa penggunaan senjata nuklear tidak akan diterima.
“Malaysia juga percaya bahawa TPNW melengkapkan, dan tidak melemahkan, instrumen undang-undang antarabangsa lain yang berkaitan dengan pelucutan senjata nuklear dan penyebaran, terutamanya NPT, Perjanjian Larangan Uji Nuklear Komprehensif, dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini dalam ucapannya di UNGA menegaskan Malaysia menyokong penghapusan keseluruhan senjata nuklear dan memberi jaminan supaya ia tidak lagi akan dibangunkan.
Malaysia, selaku pengerusi Jawatankuasa Utama 1 mengenai Pelucutan Nuklear untuk Persidangan Kajian Semula NPT ke-10, akan berusaha membawa negara yang terbabit dalam ratifikasi itu supaya bersatu hati.
#Saifuddin Abdullah #Malaysia #senjata nuklear #Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #UNGA
;