Malaysia gesa pembahagian tanggungjawab tangani isu pelarian Rohingya
Astro Awani
November 15, 2020 13:51 MYT
November 15, 2020 13:51 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi dapat membuka pintu untuk lebih banyak pelarian Rohingya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana sumber dan kemampuan negara semakin terhad, terutama ketika pandemik COVID-19 melanda.
"Oleh itu, Malaysia meminta pembahagian beban dan tanggungjawab sama rata, seperti mana yang digariskan dalam Global Compact for Refugees (GCR) untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya," kata beliau dalam kenyataan intervensi Sidang Kemuncak ASEAN ke-11, hari ini.
Malaysia juga menyokong inisiatif Sokongan terhadap Rayuan Setiausaha Agung PBB untuk Gencatan Senjata Global ketika pandemik COVID-19 dan berharap ia dapat menyumbang ke arah menamatkan permusuhan dan mencapai keamanan yang berterusan di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Malaysia juga mengalu-alukan Pelan Tindakan Setiausaha Jeneral PBB untuk Mencegah Ekstremisme Kekerasan (PVE) yang memfokuskan pada elemen pencegahan, pendekatan yang sudah dipraktikkan oleh Malaysia.
Bagi isu Palestin pula, Malaysia masih berpegang pada prinsip yang sama.
"Malaysia menyeru PBB dan masyarakat antarabangsa untuk berusaha dan melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang tertindas," tambahnya.