Malaysia gesa PBB ambil tindakan segera tangani isu Palestin, Myanmar

Syafik Shukri Jalil
September 27, 2024 06:00 MYT
Mohamad dan Guterres mengadakan pertemuan di luar sesi UNGA ke-79 di New York, 27 Sept 2024. - Foto Astro AWANI/HELMI HAMID
NEW YORK: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan yang segera demi mencapai keamanan bagi rakyat di Palestin dan Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau turut menyatakan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap konflik yang berterusan dan pencabulan hak asasi manusia di Palestin dan Myanmar.
“Saya telah menyuarakan kebimbangan dan mendesak PBB mengambil tindakan segera bagi memastikan keamanan bagi rakyat Palestin dan Myanmar,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, Mohamad berkata dalam pertemuan itu, turut dibincangkan ialah usaha sama antara Malaysia dan PBB menjelang kepengerusian ASEAN 2025.
Pertemuan itu berlangsung di luar sesi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79, di mana para pemimpin dunia menyampaikan ucapan mereka semasa Perbahasan Umum dari 24-30 September.
Mohamad berada di New York bagi mewakili Malaysia dan dijadual menyampaikan Kenyataan Negara semasa Perbahasan Umum Peringkat Tinggi pada 28 September, kira-kira jam 2 petang waktu tempatan.
#Mohamad Hasan #UNGA #Antonio Guterres #Palestin
;