Malaysia gesa Myanmar hormati Konsensus Lima Perkara, pulihkan keadaan dalam negara

Syafik Shukri Jalil
Julai 25, 2024 19:11 MYT
Mohamad berkata, Konsensus Lima Perkara yang sudah dipersetujui pada 2021 perlulah dihormati oleh Myanmar dan langkah segera perlu diusahakan bagi memulihkan konflik yang berterusan sehingga kini. - Gambar/ Astro AWANI
VIENTIANE: Malaysia menggesa Myanmar untuk terus serius dalam usaha menangani masalah dalam negara itu, yang kini sudah menjadi isu dalam rantau ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Konsensus Lima Perkara yang sudah dipersetujui pada 2021 perlulah dihormati oleh Myanmar dan langkah segera perlu diusahakan bagi memulihkan konflik yang berterusan sehingga kini.
‘’Malaysia mencadangkan supaya Myanmar perlu serius dalam usaha untuk mereka menangani masalah dalam negara mereka dan masalah dalam negara Myanmar ini tidak lagi masalah dalaman mereka tetapi telah menjadi masalah negara serantau khususnya Malaysia.
‘’Ini kerana Malaysia sebagai negara yang terkesan terus daripada isu ataupun masalah yang terjadi di Myanmar.
‘’Umpamanya, pelarian Rohingya (lari ke Malaysia) yang mana mereka dihalau dari kampung halaman... banyak yang mereka telah dibunuh, kekejaman tentera junta dan juga puak-puak pelampau di Myanmar (menyebabkan mereka melarikan diri),’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan delegasi media Malaysia di Vientiane, Laos sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN kali ke-57 pada Khamis.
Pada Rabu, Mohamad berkata isu sama dibangkitkan semasa Informal Consultation (Current, Previous and Incoming Chairs of ASEAN) yang melibatkan tiga negara termasuk Indonesia, Laos dan Malaysia.
Hal ini kerana wujud kebimbangan dalam kalangan negara anggota apabila semua resolusi yang terkandung dalam Konsensus Lima Perkara itu masih belum direalisasikan.
‘’Myanmar perlu hormati Konsensus Lima Perkara yang telah pun dipersetujui oleh mereka sama.
‘’Mereka bersama-sama sendiri bersama dengan kepimpinan ASEAN yang telah menandatangani perjanjian Konsensus Lima Perkara ini.
‘’Jadi kita mahu Myanmar menghormati lima perkara dalam konsensus dan segera memulihkan keadaan dalam negara mereka,’’ ujarnya lagi.
Menerusi persetujuan negara anggota blok ASEAN pada 2021 di Jakarta, Indonesia, antara agenda utama Konsensus Lima Perkara berkenaan krisis di Myanmar adalah menamatkan keganasan dan mengadakan dialog yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan.
Selain itu, tiga perkara lain adalah, ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, duta khas ASEAN yang dilantik untuk menjalankan perbincangan dan utusan dibenarkan melawat negara itu.
#Mohamad Hasan #Myanmar #Malaysia #ASEAN
;