Malaysia gesa Filipina cari pembunuh John Ridsdel

Astro Awani
April 27, 2016 21:20 MYT
Ridsdel, bersama dua orang lelaki dan seorang wanita, diculik pada September 2015 ketika mereka berada di atas kapal layar di sebuah marina berdekatan bandar Davao.
Kerajaan Malaysia menggesa Kerajaan Filipina untuk memperhebatkan usaha membawa mereka yang terlibat di dalam kes pembunuhan warga Kanada, John Ridsdel di Selatan Filipina pada Isnin.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memberitahu, Filipina perlu memastikan kumpulan yang terlibat dalam jenayah tersebut ke muka pengadilan selain meneruskan usaha untuk membebaskan mangsa-mangsa penculikan yang lain.
"Kerajaan Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Kanada, terutamanya keluarga mangsa yang terlibat," jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, Presiden Benigno Aquino III mengarahkan Angkatan Tentera Filipina dan Polis Kebangsaan Filipina untuk menggunakan kuasa penuh undang-undang dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Pada Isnin, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengesahkan bahawa Ridsdel telah dibunuh oleh pengganas.
Dilaporkan, dua lelaki yang menunggang motosikal meninggalkan kepala Ridsdel yang diletakkan di dalam beg plastik, di jalan di Jolo, Sulu, sebelum melarikan diri.
#Abu Sayyaf #John Ridsdel #Justin Trudeau
;