Malaysia galas tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025

Syafik Shukri Jalil
Oktober 11, 2024 18:42 MYT
Upacara simbolik serahan tugas dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC). - Bernama
VIENTIANE: Malaysia, hari ini mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 daripada Laos, sebentar tadi.
Upacara simbolik serahan tugas dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, pada Jumaat.
Menerusi ucapannya, Anwar berkata Malaysia memilih tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' yang mencerminkan komitmen dalam mencapai kemajuan yang dikongsi bersama.
"Ia mempamerkan harapan kami bahawa langkah yang diambil hari ini, akan bertahan lama dalam jangka masa panjang.
"Ini juga menggariskan keazaman untuk memastikan masa depan yang kukuh sepanjang kita bergerak ke hadapan.
"Dalam setiap masa, tindakan dan keputusan kita akan berpandukan kepada prinsip muafakat.
"Untuk itu, bersama-sama kita berikan komitmen untuk membina rantau yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikain menerusi ucapannya selepas menerima simbolik penyerahan tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Selain itu, Malaysia turut memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025 buat pertama kalinya.
Logo berkenaan memaparkan lambang ASEAN dalam kitaran berbentuk bunga raya, dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua negara anggota ASEAN.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
#ASEAN #Malaysia #Pengerusi ASEAN #Anwar Ibrahim
;