Malaysia dijangka tarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga dari Singapura dan Vietnam - Fadillah

Bernama
Ogos 15, 2024 22:58 MYT
Menurut Fadillah, Malaysia perlu menjalin hubungan kerjasama serantau dalam bidang tenaga kerana kadang-kadang negara turut mengalami kekurangan bekalan tenaga dan terpaksa membeli dari negara-negara jiran. - Gambar Bernama
LIMA (PERU): Malaysia dijangka menarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga dari Singapura dan Vietnam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perkara tersebut akan diperincikan sewaktu kunjungan hormat lewat hari ini oleh Menteri Kanan bagi Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) dan Kementerian Budaya, Komuniti dan Belia Singapura Low Yen Ling serta Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hoang Long.
"Saya kira ini mungkin perkara yang ingin dibincangkan oleh menteri dari Singapura untuk bagaimana lanjutan (pengimportan tenaga boleh diperbaharui oleh Singapura), sebab tempohnya sudah hampir tamat kita perlu melanjutkannya.
"Di peringkat negara kita, kita sudah pun meluluskan termasuk persetujuan kita untuk menambah bekalan sekiranya Laos tidak dapat membekalkan tenaga kepada Singapura, kita akan membekalkan tambahan 100 MW lagi kalau ada keperluan," katanya.
Fadillah berkata demikian kepada media Malaysia bersempena dengan lawatan beliau ke Peru untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM), di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari dari 14-16 Ogos, 2024.
Mesyuarat itu, yang dihoskan oleh Peru sebagai Pengerusi APEC 2024, merupakan pertemuan tertinggi menteri-menteri ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga.
Menurutnya, Malaysia perlu menjalin hubungan kerjasama serantau dalam bidang tenaga kerana kadang-kadang negara turut mengalami kekurangan bekalan tenaga dan terpaksa membeli dari negara-negara jiran.
"Kalau dapat, saya nak berbincang dengan mereka bagaimana kalau kita tahun depan betul-betul fokuskan kepada salah satu agenda kita iaitu The ASEAN Power Grid (Grid Kuasa ASEAN)," katanya.
Grid Kuasa ASEAN merujuk kepada inisiatif serantau untuk meningkatkan ketersambungan tenaga dalam kalangan negara anggota.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada penyepaduan grid elektrik pelbagai negara ASEAN untuk meningkatkan keselamatan tenaga, menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap dan menyokong pembangunan pasaran elektrik serantau.
Matlamatnya adalah untuk memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan memastikan bekalan tenaga yang lebih terjamin serta mampan di rantau ini.
"Setiap negara boleh membantu antara satu sama lain, kalau ada keperluan untuk membekalkan tenaga, negara jiran kita boleh bekalkan, kalau kita kurang (bekalan tenaga) negara jiran akan membantu kita. Itulah semangat yang kita ingin bangunkan, semangat ASEAN itu sendiri.
"Itu salah satu yang saya nak bincangkan dengan rakan-rakan ASEAN kita nanti," katanya.
Mengulas mengenai pelaburan dengan Vietnam pula, Fadillah berkata negara itu mempunyai sumber dari segi tenaga angin.
Menurutnya, Malaysia, melalui Petronas dan TNB beminat untuk menambahkan pelaburan dalam sektor tenaga di Vietnam.
"Pada masa sama kita (ada cadangan) untuk memasang bekalan tenaga (kabel dasar laut) dari Vietnam ke Kota Baru, Kelantan. Ia bukan sahaja untuk Malaysia tapi kita boleh bekalkan ke Singapura dan negara-negara ASEAN lain sekali," katanya.
Selain kunjungan hormat daripada menteri Singapura dan Vietnam, Fadillah juga dijangka menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam Pehin Halbi dan Naib Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Nobuhiro Yoshida.
-- BERNAMA
#Tenaga Boleh Diperbaharui #pelaburan #TNB #Pengerusi APEC 2024
;