Malaysia desak negara maju tingkatkan pembiayaan iklim di COP29

Dzulfitri Yusop
November 19, 2024 16:25 MYT
Nik Nazmi menggesa negara maju agar menunaikan tanggungjawab mereka dalam menyediakan dana yang mencukupi.
BAKU, Azerbaijan: Malaysia menempelak negara-negara maju yang sanggup membelanjakan trilion dolar untuk konflik dan peperangan tetapi menafikan pembiayaan tindakan iklim untuk negara membangun.
Dalam kenyataan negara di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-29 (COP29), Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa negara maju agar menunaikan tanggungjawab mereka dalam menyediakan dana yang mencukupi.
"Amat mengecewakan apabila negara-negara maju sanggup membelanjakan trilion dolar untuk konflik dan peperangan, tetapi negara-negara di Selatan Global dinafikan pembiayaan yang lebih untuk tindakan iklim,” kata beliau dalam ucapan di COP29.
Beliau berkata, Malaysia turut menekankan kepentingan pembiayaan iklim yang lebih menyeluruh dan penyelarasannya untuk negara-negara membangun.
“Dunia kini berada di persimpangan dari segi pembiayaan iklim. Walaupun mandat dan sumber sudah tersedia, masih terdapat perbezaan pemahaman mengenai cara untuk mengumpulkan dan menggerakkan dana iklim," katanya.
Nik Nazmi menyatakan Malaysia kini sedang merangka Nationally Determined Contributions (NDC) generasi ketiga atau NDC 3.0 untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) tanpa syarat yang dijangka akan lebih menyasarkan matlamat yang lebih tinggi.
Namun, kata beliau kaedah pelaksanaan yang tepat amat penting untuk memastikan semua usaha ini boleh direalisasikan.
"Sekiranya dana daripada negara maju disalurkan dengan baik, Malaysia berupaya melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi mencapai matlamat iklimnya.
"Malaysia berharap agar pembiayaan dan kerjasama dari negara-negara maju ini dapat mempercepatkan pencapaian sasaran iklim global, terutamanya ketika cabaran perubahan iklim semakin mendesak," katanya.
COP29 yang berlangsung di sini sehingga 22 November ini dijangka akan memuktamadkan kerangka dan mekanisme pembiayaan kewangan perubahan iklim yang lebih iklusif buat negara membangun dan maju.
#Malaysia #Nik Nazmi #COP29 #tindakan iklim
;