'Malaysia buka pintu negara ASEAN untuk Costa Rica' - Anifah

Astro Awani
Mac 15, 2016 20:19 MYT
ANIFAH:'Malaysia buka pintu negara ASEAN untuk Costa Rica' - Gambar fail
Kerajaan menjemput Costa Rica untuk menggunakan negara sebagai pintu masuk ke ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, dengan tertubuhnya Komuniti ASEAN, tahap kerjasama dua hala dengan Costa Rica juga akan dipertingkatkan dalam aspek tertentu.
"Saya mengalu-alukan lawatan Menteri Luar Costa Rica, Manuel Antonio Gonzalex Sanz dan menyatakan komitmen negara untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Costa Rica.
"Ia dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pendidikan, pelancongan serta meneroka bidang kerjasama baru pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Costa Rica bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.
Gonzalez Sanz dalam rangka lawatan kerja rasmi pertamanya ke negara ini selama empat hari.
Lawatan itu akan mampu menyediakan peluang yang baik untuk kedua-dua negara mengukuhkan lagi kerjasama dua hala yang sedia ada dalam bidang perdagangan dan pendidikan serta memperluaskan hubungan dalam bidang kerjasama baharu.
Dalam pada itu jelas Anifah, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan berkenaan cadangan penubuhan mekanisme rundingan dua hala di antara Kementerian Luar Negeri kedua-dua buah negara.
"Ia termasuk mengadakan rundingan mengenai pemeteraian perjanjian berkenaan kerjasama ekonomi, sains, teknikal dan budaya yang akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan hubungan dua hala ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kita turut mengambil peluang untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bagi Malaysia dan Costa Rica, serta menggariskan jalinan persahabatan dan kerjasama yang kukuh di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Tahun lepas, Costa Rica merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Amerika Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai US$57.3 million (RM233.95 juta).
Jumlah eksport Malaysia ke Costa Rica bernilai US$28.3 juta (RM115.64 juta) berbanding import dari Costa Rica bernilai US$29.1 juta (RM119.02 juta).
#Anifah #Costa Rica #Gonzalex Sanz
;