Malaysia beri keutamaan kepada China kerana 'ekonomi raksasa' - PM Anwar

Hasimi Muhamad
Mac 30, 2023 20:57 MYT
Manurut Anwar, Malaysia dan China juga mempunyai hubungan dagangan yang baik dan memiliki hala tuju yang tidak menimbulkan sebarang masalah. - Bernama
BEIJING: Malaysia memberikan keutamaan kepada hubungan dua hala dengan China kerana kedudukan ekonomi negara itu yang disifatkan sebagai ‘raksasa’ di dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan China juga mempunyai hubungan dagangan yang baik dan memiliki hala tuju yang tidak menimbulkan sebarang masalah.
“China adalah jiran (hubungan rapat) dan China sebagai rakan dagang yang penting untuk Malaysia.
“… dan sebab itu (saya) memberikan keutamaan untuk datang ke China dulu.
“Sebagai negara perdagangan, kita mesti mengekalkan hubungan yang baik dengan semua (negara) termasuk Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dengan Rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 200 rakyat Malaysia dari China sebagai memberikan sokongan kepada pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Anwar.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata pendekatan dasar China seiring dengan kerangka Malaysia Madani termasuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat.
Jelas beliau, China telah mengiktiraf Malaysia walaupun ia sebuah negara perdagangan yang kecil.
Dalam masa yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Perpaduan ketika ini semakin utuh dan stabil.
Situasi itu, jelas Perdana Menteri menjadi faktor pemangkin kepada pertumbuhan perdagangan dan pelaburan.
“Kerana itu (pertumbuhan), lebih banyak yang boleh diselesaikan seperti masalah pengangguran, kesenjangan antara maha kaya dan miskin serta isu pendidikan.
“Nampak usaha untuk jalin kerjasama antara parti kian kukuh dari hari demi hari dan rakan-rakan dalam jemaah menteri diberikan beban yang tinggi (tanggungjawab),” ujarnya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri mengakui sebagai sebuah negara demokratik, akan sentiasa ada perbezaan pandangan khususnya dalam kalangan pembangkang.
Begitupun, Ahli Parlimen Tambun itu berkata teguran perlulah baik dan membina.
“Kita bukan tetapkan semuanya maha sempurna. Tetapi jika diteruskan isu terlampau seperti kaum dan agama, ia akan memecah-belahkan rakyat.
“Kita tak izin hal-hal yang mengotak-ngatikkan dan memecah belah rakyat selepas lebih 60 tahun kemerdekaan,” tambah Perdana Menteri.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing pada pukul 4.28 petang waktu tempatan.
Beliau akan meneruskan lawatan rasmi di China sehingga Sabtu ini selepas tiba di Hainan pada Rabu bagi menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia (BFA) 2023.
#Anwar Ibrahim #China #perdagangan #ekonomi #Beijing
;