Malaysia, Australia bincang isu kedatangan migran tidak sekata

Bernama
November 20, 2016 12:44 MYT
Najib (kiri) mengadakan pertemuan dengan Turnbull pada Sidang Kemuncak APEC pada 19 Nov. - fotoBERNAMA
Kerjasama berkaitan kedatangan migran secara tidak sekata adalah antara topik yang disentuh dalam perbincangan dua hala Malaysia dan Australia di luar persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di ibu negara Peru pada Sabtu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull berkata Australia dalam pertemuan itu meminta kerjasama Malaysia untuk membendung isu pelarian, yang menghantui negara berkenaan ekoran kebanjiran migran itu.
"Beliau (Turnbull) mahu bendung masalah migran ini yang dikaitkan dengan permerdagangan manusia," katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas menghadiri program hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.
Antara kerjasama itu adalah melalui pertukaran laporan risikan dan melakukan larangan rasmi iaitu dengan mengambil tindakan sekiranya migran berkenaan melalui perairan negara, katanya.
Najib berkata Australia dalam pertemuan itu turut menyuarakan hasrat agar kerjasama dipertingkatkan untuk membendung ancaman keganasan yang serius.
Tambahan lagi, katanya, kawasan serantau mungkin berhadapan dengan ancaman baharu sekiranya Mosul jatuh ke tangan Iraq dan mengakibatkan mereka yang berperang di bawah panji-panji Daesh pulang ke rantau Asia Tenggara.
Mengenai pertemuan dua halanya dengan Perdana Menteri Papua New Guinea Peter O'Neill, Najib berkata perdana menteri negara itu mempelawa Petronas untuk melihat kemungkinan membangunkan kawasan gas asli untuk gas asli cecair (LNG) di kawasan daratan.
"Perdana Menteri Papua New Guinea meminta Petronas kaji potensi pelaburan tersebut," katanya dan menambah perdana menteri negara itu dalam pertemuan mereka melahirkan rasa puas hatinya terhadap Malaysia sebagai antara pelabur terbesar di negara itu.
Najib berkata Papua New Guinea juga berharap Malaysia boleh membantu dalam bina upaya sebagai persediaan negara berkenaan menjadi tuan rumah APEC pada 2018. -- Bernama
#APEC #Australia #isu migrasi #Malaysia #malcolm turnbull #Najib Razak
;