Malawi: Angka kematian akibat Siklon Freddy cecah 99

Bernama
Mac 14, 2023 14:04 MYT
Seorang lelaki meninjau keadaan rumahnya yang musnah susulan kejadian Siklon Tropika Freddy di Blantyre, Malawi, 13 Mac 2023. (Foto AP)
BLANTYRE (Malawi): Angka kematian akibat Siklon Tropika Freddy melanda Malawi mencecah 99 nyawa dengan 85 kematian direkodkan di bandar komersial Blantyre pada Isnin.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Bencana dan Pengurusan (DoDMA), Charles Kalemba, mengesahkan perkembangan itu pada taklimat media yang diadakan di Blantyre petang Isnin, sambil menambah bahawa beribu-ribu penduduk telah dipindahkan, lapor Xinhua.
Kalemba berkata hampir 150 orang mengalami kecederaan serius di 10 daerah yang terjejas teruk akibat taufan itu.
Siklon itu juga telah memusnahkan infrastruktur jana kuasa, menyebabkan hampir seluruh negara mengalami gangguan bekalan elektrik sejak pagi Isnin.
Presiden Malawi Lazarus Chakwera mengisytiharkan darurat di 10 daerah yang terjejas teruk di wilayah selatan.
--BERNAMA-XINHUA
#Malawi #angka korban #siklon tropika #Freddy
;