Malas, tak nak buat apa-apa? Mungkin universiti ini sesuai untuk anda
Agensi
Ogos 30, 2020 11:24 MYT
Ogos 30, 2020 11:24 MYT
Mahukah anda mendapat biasiswa dengan tidak perlu berbuat apa-apa?
Di Jerman, anda boleh memperolehnya.
University of Fine Arts di Hamburg membuka peluang kepada tiga pelajar baharu dari serata dunia untuk menjadi penerima biasiswa istimewa bernilai AS$1,900 (kira-kira RM8,000).
Universiti tersebut pada Rabu mengumumkan permohonan untuk biasiswa itu bermula sekarang hingga 15 September nanti..
“Dunia yang kita tinggal sekarang memberi penghargaan kepada kejayaan, pembangunan dan wang.
"Pemikiran sebegitu membawa kita ke dalam krisis lain termasuk ketidakadilan sosial.
“Kami mahu mengubahnya, memberikan biasiswa bukan untuk yang terbaik dalam melakukan sesuatu projek, tapi untuk mereka yang tidak lakukan apa-apa,” kata Friedrich von Borries, profesor yang mengilhamkan biasiswa berkenaan kepada CNN.
Von Borries berkata pemohon daripada seluruh dunia dan semua lapisan masyarakat dialu-alukan untuk mengemukakan idea mereka dalam melaksanakan ‘kerja’ tidak buat apa-apa itu.
Pemohon akan diminta memikirkan aktiviti yang mereka tidak mahu lakukan dan mengapa mereka orang paling layak untuk tidak melakukan apa-apa.
Tujuannya adalah untuk menahan mereka melakukan sesuatu yang berkemungkinan memberi manfaat kepada orang lain.
“Kami bermain dengan istilah 'tidak melakukan apa-apa' tapi sebenarnya maksud kami yang lebih tepat ialah tidak melakukan sesuatu lagi,” ujarnya.
Semua pemohon akan mengambil bahagian dalam pameran universiti tersebut yang dinamakan "The School of Inconsequentiality: Exercises for a Different Life” yang memfokuskan kepada idea kelestarian.
Tiga pemenang wang tunai akan diumumkan pada majlis pembukaan pameran itu pada 5 November dan pemenang perlu menceritakan pengalaman mereka kepada pengunjung pameran itu.