Maklumat salah punca rusuhan di UK: Media sosial jadi dalang penyebarannya

Bernama
Ogos 8, 2024 10:30 MYT
Cooper membawa bunga ke lokasi kejadian susulan serangan di Hart Street yang mengakibatkan kanak-kanak terkorban dan ramai cedera ketika satu majlis di sebuah sekolah di Southport, England, 30 Julai 2024. (Foto AP)
KUALA LUMPUR: Rentetan rusuhan berterusan di beberapa bandar di seluruh United Kingdom (UK), pemilik platform media sosial telah dipersalahkan kerana menyebar maklumat salah sehingga mencetuskan pertempuran ganas sejak beberapa minggu lepas.
Kebanjiran maklumat salah dalam talian dikenal pasti sebagai faktor utama dalam memburukkan lagi keadaan, dengan kerajaan UK menunding jari kepada syarikat media sosial, untuk mengambil tanggungjawab terhadap keganasan yang meningkat.
Setiausaha Dalam Negeri Britain Yvette Cooper dilaporkan berkata kerajaan akan membawa perkara itu kepada syarikat-syarikat teknologi dalam menangani isu "rocket booster" ini, yang menyaksikan maklumat salah dikenal pasti tersebar dengan begitu pantas.
Platform media sosial yang dipersalahkan termasuk WhatsApp, Telegram dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) yang digunakan oleh kumpulan berhaluan kanan.
Cooper berkata "syarikat media sosial perlu mengambil beberapa tanggungjawab" dan "polis akan memburu penjenayah dalam talian" sambil menambah bahawa maklumat salah adalah punca yang menggalakkan keganasan.
Rusuhan ini bermula dengan pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan ketika menghadiri kelas tarian di Southport, bandar di utara Liverpool, yang kemudiannya disusuli dengan tindak balas beberapa kumpulan tertentu yang melakukan serangan ganas.
Serangan bermula apabila maklumat palsu menyebarkan nama dan identiti penyerang dengan dakwaan dia seorang migran dari Syria yang tiba di UK dengan menyeberangi Selat Inggeris baru-baru ini menggunakan bot kecil, dan kononnya dia seorang Muslim.
Axel Rudakubana, 18, yang didakwa atas tiga pertuduhan membunuh dan 10 pertuduhan cubaan membunuh, sebenarnya bukanlah seorang Muslim atau migran.
Malah The Mirror melaporkan bapa remaja itu adalah seorang penganut Kristian dan ibunya seorang suri rumah yang "bergelut untuk mengharungi kehidupan di sini'' dan bahawa "keluarga itu banyak terlibat dengan aktiviti di gereja setempat".
Rudakubana sebenarnya dilahirkan di Cardiff, Wales, dan ibu bapanya telah berhijrah ke UK dari Rwanda, Afrika.
Banyak pihak telah menyebarkan maklumat salah yang 'toksik', di samping menyebarkan pengumuman mengenai sesuatu perjumpaan atau perhimpunan, dan sering berkongsi maklumat mengenai perkara berkaitan tanpa mendedahkan namanya. Malah ada yang menggunakan Facebook untuk memberitahu pengikutnya supaya menyerang sebuah hotel yang dikatakan dihuni migran.
Aktivis sayap kanan Stephen Yaxley-Lennon membuat ulasan berterusan di samping menyiarkan video rusuhan di X, dan berulang kali mendakwa ia disebabkan oleh "perusuh dalam kalangan orang Islam" dan bukannya perusuh sayap kanan.
Atas nama kebebasan bersuara, beliau dapat terus menyebarkan maklumat yang salah untuk menyemarakkan keganasan melalui platform ini.
Kekecewaan kerajaan UK sebenarnya tidak banyak berbeza dengan apa yang dihadapi oleh Malaysia dan negara-negara lain.
Pasti ada pihak yang bimbang sekiranya kerajaan bertindak menyekat kebebasan berekspresi dan menolak perbezaan pendapat jika media sosial terlalu dikawal, tetapi pada masa yang sama ketika kita berdebat mengenai perkara ini pembuli siber, penipu, pengendali kasino dalam talian dan pemangsa seks - terus bebas bermaharajalela dengan aktiviti mereka.
Siapa sebenarnya yang menjadi pelindung kepada insan biasa yang tidak bersalah apabila kita begitu terperangkap dalam hasrat untuk melindungi ahli politik mahupun kritikan, semata-mata atas nama masyarakat sivil dan kebebasan bersuara?
Kerajaan UK kini menggesa diadakan "perdebatan jangka panjang mengenai rangka kerja undang-undang yang lebih luas" untuk menangani maklumat salah dalam talian.
Persoalan kini timbul mengenai keberkesanan Akta Keselamatan Dalam Talian yang dikuat kuasa pada 2023, selepas bertahun-tahun pelbagai pihak bertelagah mengenainya, dan undang-undang itu masih berkuat kuasa.
Menurut Financial Times, undang-undang itu direka untuk melindungi pengguna perkhidmatan dalam talian sosial, termasuk pengguna platform media sosial.
"Ia memberikan kuasa yang besar kepada pengawal selia media UK Ofcom, untuk mengawal gergasi teknologi daripada melanggar peraturan, termasuk mengenakan denda yang tinggi serta liabiliti jenayah terhadap eksekutif kanan syarikat yang dikenal pasti terbabit dengan pelanggaran undang-undang yang serius,'' menurutnya.
Di Malaysia, langkah mendaftar syarikat teknologi ini memang sepatutnya dilaksanakan, kerana kebanyakan syarikat-syarikat ini tidak mempunyai pejabat operasi atau wakil di sini. Mungkin yang ada hanya petugas serantau tanpa kedudukan tinggi dalam syarikat itu, di Singapura atau Manila.
Walaupun mereka dipanggil untuk bertemu dengan kerajaan Malaysia, realitinya ibu pejabat mereka berada di Amerika Syarikat atau di tempat lain.
Mereka tidak perlu melayan sebarang arahan kerajaan, dan apabila gambar-gambar intim serta lucah disiarkan dalam talian, rayuan dibuat kepada pengendali media sosial ini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kemudian ia terpulang kepada budi bicara mereka untuk mengambil tindakan, sementara mangsanya terus menderita.
Ahli Parlimen Tory, James Cleverly dilaporkan memberi amaran kepada eksekutif teknologi bahawa "ia sememangnya tidak boleh diterima - syarikat teknologi ini mengambil keuntungan, tetapi tidak memenuhi tanggungjawab mereka''.
Ahli Parlimen dari Parti Buruh Josh Simons pula dilaporkan berkata bahawa "ketua-ketua teknologi tidak boleh memiliki kuasa yang jauh lebih tinggi daripada mana-mana editor akhbar, tanpa memikul sebarang tanggungjawab.''
Keganasan di UK adalah satu amaran yang perlu diambil iktibar, memandangkan negara membangun tidak mempunyai pengaruh untuk bertindak terhadap syarikat-syarikat media sosial ini, namun apabila UK menyuarakan kemarahannya sebagai mangsa, barulah kita dapat lihat tindak balas yang lebih berkesan.
-- BERNAMA
#rusuhan #United Kingdom #media sosial #kebebasan bersuara
;