Makin marak gesaan minta Presiden Sri Lanka berundur

Astro Awani
April 14, 2022 06:45 MYT
Penunjuk perasaan berhimpun setiap hari sejak Sabtu menentang Presiden Gotabaya Rajapaksa, melaungkan -Gota pulang- sambil menyeru kerajaannya disingkirkan. - Foto AP
COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa merayu kepada rakyatnya bersabar ketika mana ribuan orang terus turun ke jalan raya bagi membantah pemerintahan keluarganya.
Malah penunjuk perasaan turut turun ke jalanan kerana marah dengan krisis ekonomi paling teruk dihadapi Sri Lanka setakat ini.
22 juta penduduk Sri Lanka telah mengalami pemadaman elektrik sejak berminggu-minggu selain kekurangan makanan, bahan api dan juga ubat untuk selamatkan nyawa berikutan kemelesetan terburuk negara itu sejak merdeka pada 1948.
Penunjuk perasaan berhimpun setiap hari sejak Sabtu menentang Presiden Gotabaya Rajapaksa, juga adik Mahinda, di Colombo dan seluruh negara, melaungkan “Gota pulang” sambil menyeru kerajaannya disingkirkan.
Dalam ucapan pertamanya sejak krisis itu, Mahinda berkata beliau perlu lebih banyak masa untuk menarik negara keluar dari jurang permasalahan yang teruk.
Beliau berkata, walaupun ia tidak dapat hentikan krisis dalam tempoh dua atau tiga hari, kerajaan akan cuba sedaya upaya selesaikannya secepat mungkin.
Mahinda menambah, setiap minit penunjuk perasaan membantah di jalanan, Sri Lanka akan hilang peluang untuk mendapatkan satu dolar untuk negara, merujuk kepada siri bantahan antikeluarga Rajapaksa.
Tekanan terhadap keluarga Rajapaksa yang berkuasa telah meningkat sejak kebelakangan ini, dengan komuniti perniagaan penting negara itu turut menarik balik sokongan pada hujung minggu.
Mahinda tidak secara langsung menangani gesaan yang semakin meningkat untuk beliau dan Gotabaya berundur, tetapi beliau mempertahankan pentadbirannya dengan berkata parti pembangkang telah menolak tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Beliau turut mempersalahkan hutang asing Sri Lanka yang melonjak penyebab kemelesetan teruk ekonomi negara itu.
Walaupun sekatan dan pemberhentian yang didorong oleh koronavirus telah menjejaskan ekonomi penting seperti pelancongan, pakar berkata, krisis itu diburukkan lagi oleh salah urus kerajaan, pinjaman terkumpul selama bertahun-tahun selain pemotongan cukai yang tidak perlu.
Kerajaan sedang bersedia untuk dapatkan 'bailout' dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu ini, dengan pegawai Kementerian Kewangan berkata, pemegang bon berdaulat dan pemiutang lain mungkin perlu turut sama berkorban.
Sri Lanka menjangkakan AS$3 bilion daripada IMF untuk menyokong imbangan pembayaran pulau itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
#hutang asing #protes #Mahinda Rajapaksa #Gotabaya Rajapaksa
;