Majoriti mangsa kebakaran di Kuwait dari Kerala, India
Bernama
Jun 13, 2024 22:19 MYT
Jun 13, 2024 22:19 MYT
MAJORITI mangsa kebakaran di sebuah blok pangsapuri yang menempatkan pekerja asing di Kuwait pada Rabu adalah dari negeri Kerala di selatan India.
Kebakaran di kawasan Mangaf itu telah meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa dan lebih 40 orang daripada mereka adalah dari India.
Mereka termasuk 24 orang dari Kerala dan lima dari negeri jiran, Tamil Nadu.
Kira-kira 50 warga India juga cedera dalam kebakaran itu, yang menurut beberapa laporan, bermula di dapur dan merebak ke bangunan yang menempatkan 196 pekerja itu.
Kirti Vardhan Singh, Timbalan Menteri di Kementerian Luar India, telah pergi ke Kuwait dan bertemu dengan mereka yang cedera.
Menteri Luar Kuwait, Abdullah Ali Al Yahya, dalam pertemuan dengan Singh memberi jaminan "sokongan penuh termasuk penjagaan perubatan, penghantaran pulang jenazah awal dan penyiasatan kejadian," menurut Kedutaan India di Kuwait pada Khamis.
Amir Kuwait, Sheikh Mishal Al Ahmad Al Jaber Al Sabah berdukacita dengan kematian pekerja berkenaan dan mengumumkan bantuan kewangan untuk keluarga setiap 49 mangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Sheikh Fahad Yusuf Al Sabah, yang juga mengetuai kementerian pertahanan dan dalam negeri, berjanji akan mengambil tindakan terhadap pelanggaran kanun bangunan kediaman.
Beliau berkata jenazah mangsa akan diterbangkan ke negara asal mereka menggunakan pesawat tentera Kuwait, menurut laporan media tempatan.
-- BERNAMA