Majlis Perbandaran Yala seru semua pihak kembalikan keamanan

Bernama
Januari 31, 2022 05:36 MYT
Dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand, kerajaan Thai memulakan kembali dialog damai dengan kumpulan bersenjata BRN pada pertengahan Januari. - Gambar fail/Astro AWANI
BANGKOK: Pihak Majlis Perbandaran Yala menyeru semua yang terlibat dalam beberapa serangan bom di bandar itu pada Jumaat dan Sabtu lalu tampil untuk mencari penyelesaian dan memulihkan keamanan di wilayah itu.
Datuk Bandar Yala Pongsak Yingchoncharoen dalam satu kenyataan berkata pihak majlis sangat kesal dengan kejadian bom dipasang di lebih 20 lokasi perbandaran itu oleh kumpulan yang tidak dikenali.
Meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa atau harta benda yang ketara, beliau berkata kejadian itu menyebabkan kerugian ekonomi yang teruk dan menjejaskan keyakinan orang ramai.
"...dan akibatnya, usaha untuk membangun dan memulihkan kualiti hidup masyarakat di situ menjadi sia-sia.
"Oleh itu, pihak Perbandaran Yala, menyeru agar tindakan sebegitu dihentikan dan mengajak mana-mana pihak yang terlibat untuk berbincang bagi mencari penyelesaian secara aman, dan bukannya menggunakan keganasan kerana tindakan itu tidak lagi diterima oleh masyarakat dunia dan tidak boleh memulihkan keamanan di tanah air."
Pada Jumaat malam, seorang cedera apabila sekurang-kurangnya 15 letupan kecil menggegar bandar Yala, kebanyakannya berlaku di tepi jalan, kedai serbaneka, kedai dan pasar.
BACA: Dua lelaki dipercayai anggota militan maut dalam insiden berbalas tembakan di Narathiwat
BACA: Tiga cedera dalam serangan bom pada kereta api di selatan Thailand
BACA: Letupan bom di tiga daerah Yala
Dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand, kerajaan Thai memulakan kembali dialog damai dengan kumpulan bersenjata berpengaruh Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai oleh Anas Abdulrahman di Kuala Lumpur pada pertengahan Januari.
Delegasi kerajaan Thailand ke rundingan itu diketuai oleh Jeneral Wanlop Rugsanaoh, manakala bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai pemudah cara yang mewakili kerajaan Malaysia.
BACA: BRN, kerajaan Thai setuju empat perkara dalam usaha selesaikan isu Patani
BACA: Ketua perunding Thai puji peranan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai
Rundingan itu memberikan sinar harapan untuk menamatkan pertumpahan darah di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, kawasan majoriti umat Islam. Lebih 7,000 orang terbunuh dalam konflik bersenjata di selatan Thailand yang bermula pada 2004.
-- BERNAMA
#yala #serangan bom #keamanan #konflik Selatan Thailand
;