Majlis Keselamatan PBB tolak resolusi gencatan senjata di Gaza
Bernama
Oktober 17, 2023 12:39 MYT
Oktober 17, 2023 12:39 MYT
WASHINGTON: Draf resolusi dikemukakan oleh Rusia yang menggesa gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin ditolak Majlis Keselamatan PBB pada Isnin.
Resolusi itu menerima lima undi menyokong, empat undi menentang manakala enam undi berkecuali. Negara yang menolak draf resolusi itu adalah AS, UK, Perancis dan Jepun, menurut laporan Agensi Anadolu.
Duta Rusia di PBB Vassily Nebenzia berkata undi itu menunjukkan negara mana yang menyokong gencatan senjata ataupun menghentikan serangan bom dan pemberian bantuan kemanusiaan.
"Seluruh dunia menunggu Majlis Keselamatan mengambil langkah-langkah untuk menghentikan pertumpahan darah. Tetapi wakil-wakil negara Barat pada dasarnya telah menghampakan harapan itu," kata Nebenzia.
Duta AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield berkata resolusi Rusia dikemukakan tanpa sebarang perundingan dan tidak menyebut Hamas.
Sementara itu, duta Palestin ke PBB Riyad Mansour menuduh Majlis Keselamatan PBB sekadar menyaksikan serangan Israel terhadap dua juta penduduk di Semenanjung Gaza selama 10 hari.
Menegaskan bahawa orang awam di Gaza dibunuh, cedera, kehilangan tempat tinggal dan menjadi mangsa keganasan, Mansour berkata tiada satu keluarga Palestin di Gaza yang terkecuali daripada serangan Israel.
"Tiada siapa harus lupa bahawa ini adalah nyawa manusia, nyawa rakyat Palestin juga penting. Dan tiada siapa yang harus melayan ilusi bahawa membunuh lebih ramai penduduk Palestin akan menjadikan Israel lebih selamat," kata beliau.
Satu lagi resolusi yang telah digubal oleh Brazil berkenaan konflik Hamas-Palestin, ditetapkan untuk diundi pada Selasa.
-- BERNAMA