Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat sebulat suara meluluskan resolusi bersejarah mengarahkan pemusnahan senjata kimia di Syria dan mengutuk serangan gas beracun di Damsyik.

Kuasa-kuasa besar mengatasi kebuntuan yang berpanjangan untuk meluluskan resolusi pertama berkaitan konflik Syria, di mana PBB berkata, lebih daripada 100,000 maut dalam tempoh 30 bulan.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon menggelarnya satu resolusi "bersejarah" dan sebagai "berita gembira pertama buat Syria selepas satu jangka masa yang lama."

Resolusi 2118 yang dirangka bersama Amerika Syarikat dan Rusia, memberi kuasa kepada badan dunia itu untuk menguatkuasakan pelan untuk menghapuskan senjata kimia milik Syria.

Resolusi itu juga bemakna tiada sekatan serta merta dikenakan keatas Syria. Walaubagaimanapun, undian baru akan dibenarkan jika pelan Amerika-Rusia itu dicabul.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam reaksinya memuji ketetapan itu sebagai satu "kemenangan bagi masyarakat antarabangsa."

Beliau memberi amaran, sebelum proses pengundian bahawa akan ada "akibatnya" sekiranya Assad gagal menepati janji berdasarkan pelan berkenaan.