Majlis Keselamatan PBB lulus rancangan gencatan senjata Israel-Gaza oleh AS
Astro Awani
Jun 10, 2024 06:45 MYT
Jun 10, 2024 06:45 MYT
NEW YORK : Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenai cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk pelaksanaan gencatan senjata kekal dan pembebasan tebusan di Gaza pada Isnin.
Resolusi tersebut diterima dengan 14 undi menyokong, tiada undi menentang dan satu undi berkecuali oleh Rusia.
Cadangan tersebut menetapkan syarat untuk "gencatan senjata penuh dan lengkap", pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas, pemulangan jenazah tebusan yang telah meninggal dunia dan pertukaran tahanan Palestin.
Rancangan ini terdiri daripada tiga fasa yang akan berakhir dengan rancangan pembinaan semula Gaza dalam jangka masa panjang berikutan kemusnahan akibat pertempuran.
Rusia tidak mengundi, sementara 14 negara termasuk AS, mengundi menyokong resolusi tersebut.
Fasa pertama rancangan ini berkaitan dengan pertukaran tebusan dan tahanan serta gencatan senjata jangka pendek.
Fasa kedua termasuk "penghentian kekerasan secara kekal" serta pengunduran sepenuhnya pasukan Israel dari Gaza, menurut teks draf resolusi AS.
Dalam perkembangan sama, fasa ketiga memberi tumpuan pada pandangan jangka panjang kawasan tersebut dan ia akan memulakan rancangan pembinaan semula Gaza selama bertahun.
Kelulusan resolusi ini berlaku beberapa minggu selepas Presiden AS, Joe Biden memaklumkan, Israel bersetuju dengan rancangan tiga fasa yang akan mencapai gencatan senjata kekal di Gaza.
Dalam ucapan selepas resolusi tersebut diluluskan, Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield memuji tindakan Majlis Keselamatan dengan menyifatkan "hari ini kita mengundi untuk keamanan."
Duta Besar UK, Barbara Woodward pula menggambarkan situasi di Gaza sebagai "katastrofik" dengan menegaskan "penderitaan telah berlangsung terlalu lama."
"Kami menggesa pihak-pihak terlibat untuk mengambil peluang ini dan bergerak ke arah perdamaian yang berkekalan yang menjamin keselamatan dan kestabilan untuk rakyat Israel dan Palestin," kata Woodward.
Pada Mac lalu, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi yang menyeru gencatan senjata.
Konflik ini bermula apabila pasukan pejuang Hamas dari Palestin menyerang selatan Israel pada 7 Oktober sehingga meragut sekitar 1,200 orang dan menawan 251 orang sebagai tebusan.
Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas mengatakan bahawa jumlah kematian di Gaza telah melebihi 37,000 sejak Israel bertindak balas terhadap serangannya.