Majlis Keselamatan PBB desak tindakan tegas henti keganasan di Myanmar

Astro Awani
Mac 5, 2021 07:10 MYT
Barbara Woodward, Duta UK ke PBB. - Gambar fail
MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mendesak tindakan tegas bagi menghentikan keganasan di Myanmar.
Utusan khas PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener dalam taklimatnya pada mesyuarat tertutup majlis itu berkata, kesatuan dan tindakan "tegas" sangat penting "dalam mendesak keganasan dihentikan dan institusi demokrasi Myanmar dipulihkan."
"Kita mesti mengecam tindakan tentera itu," katanya.
Rampasan kuasa tentera pada 1 Februari menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi setelah Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinannya memenangi 82 peratus undi dalam pilihan raya pada Nov 2020.
Pihak tentera berpandangan, terdapat penipuan undi, tetapi suruhan jaya pilihan raya tetap memihak kepada keputusan tersebut.
United Kingdom (UK) antara negara yang mengecam keganasan berterusan di Myanmar susulan rampasan kuasa tersebut.
Barbara Woodward, Duta UK ke PBB berkata, UK mengecam keganasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan yang melakukan protes secara aman.
"Kami mendesak keganasan dihentikan segera, dan mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan.
"UK sudah mengeluarkan sekatan ke atas sembilan pegawai tentera, termasuk ketua komander, susulan peranan yang dimainkan mereka dalam rampasan kuasa.
"Kami juga meneliti semula perdagangan dan bantuan kepada Myanmar.
"Kami akan meneliti sekatan tambahan dan sedia mengambil tindakan tegas di bawah piagam PBB sekiranya situasi semakin memburuk," katanya.
Sehingga kini, siri protes di bandar utama masih berterusan.
PBB mendakwa Myanmar menggunakan kekerasan bagi meleraikan tunjuk perasaan anti junta hingga mengancam nyawa.
Korban tertinggi dicatatkan pada Selasa dengan 38 orang.
#Myanmar #protes #tentera #keganasan #keselamatan #Penunjuk perasaan #New York #United Kingdom #PBB #Barbara Woodward #Christine Schraner Burgener #pilihan raya #Aung San Suu Kyi #kerajaan #rampasan kuasa #Junta #NLD
;