Majikan pemurah beri 'durian runtuh' buat pekerja

Agensi
Februari 6, 2018 09:15 MYT
Firma Fangda Special Steel Technology memberikan bonus kepada pekerjanya dalam bentuk wang tunai. - REUTERS/Fail
Syarikat Fangda Special Steel Technology yang berpangkalan di timur China mungkin merupakan majikan paling pemurah apabila memberikan bonus berjumlah 160 juta yuan atau RM99.19 juta kepada pekerjanya.
Pemberian bonus itu dilapor membabitkan seramai 5,000 pekerja dengan masing-masing menerima bonus 32,000 yuan (RM19,840) sementara pekerja yang bersara dan berusia lebih 60 tahun menerima wang tunai 3,000 yuan (RM1,859).
Firma pembuatan besi itu bukan pertama kali membuat kejutan dengan memberikan bonus tinggi kepada pekerjanya.
Sebelum ini, sebuah lagi anak syarikat itu turut tular di internet selepas memberi bonus kepada pekerjanya secara tunai.
Bonus diberikan selepas pengeluaran dan keuntungan syarikat itu mencecah tahap tertinggi, tahun lalu.
Setakat ini, syarikat itu telah memberikan bonus kepada pekerjanya berjumlah 600 juta yuan (RM372 juta) sejak 2011.
Harga besi yang melambung tinggi tahun lalu menyebabkan syarikat besi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
#antarabangsa #bonus #China #Fangda Special Steel Technology #industri besi #majikan #Pekerja #pemurah
;