AS mahukan lebih banyak bantuan kemanusiaan di Gaza

Astro Awani
Mac 5, 2024 09:15 MYT
AS ketika ini terus mendesak Israel untuk membuka satu lagi lintasan sempadan bagi memudahkan bantuan bahagian utara enklaf itu. - Foto fail/AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan ke Gaza melalui beberapa banyak saluran yang mungkin untuk membantu memulihkan bencana kemanusiaan di sini.
Menurut jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller, perkara itu sedang giat diusahakan.
Ujarnya lagi, situasi terkini di Gaza dilihat sebagai tidak dapat lagi diterima.
Washington juga optimis tentang potensi koridor bantuan maritim ke Gaza yang sedang diusahakan.
Selain itu, bantuan menerusi udara juga akan diteruskan.
"Kami juga sedang giat mengejar pilihan untuk mewujudkan koridor bantuan maritim. Kami sedang berbincang dengan beberapa rakan kongsi mengenai inisiatif ini dan sementara ia masih dalam fasa pembangunan, kami optimis tentang potensinya untuk menambah usaha udara dan darat kami.
"Kami terus berusaha untuk meningkatkan jumlah bantuan yang mengalir melalui lintasan sempadan sedia ada di Rafah dan Kerem Shalom dan mendesak kerajaan Israel untuk membuka lintasan dan laluan tambahan ke Gaza," katanya.
Tambahnya lagi, AS ketika ini terus mendesak Israel untuk membuka satu lagi lintasan sempadan bagi memudahkan bantuan bahagian utara enklaf itu, ketika lebih setengah juta orang berada di ambang kebuluran.
Gesaan AS agar Israel berusaha menangani krisis kemanusiaan semakin kuat sejak kematian 118 rakyat Palestin yang berbaris untuk mendapatkan bantuan di Gaza minggu lalu.
Sehingga kini, pihak berkuasa Palestin melaporkan lebih 30,000 orang telah disahkan terbunuh di Gaza dan ribuan lagi hilang di bawah runtuhan bagunan.
#Gaza #Palestin #bantuan #Israel
;