AS mahu perubahan struktur UNRWA sebelum sambung dana

Astro Awani
Januari 31, 2024 08:45 MYT
Thomas-Greenfield berkata, UNRWA perlu melalui perubahan struktur susulan dakwaan kakitangannya terlibat dalam serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lalu. - Foto REUTERS
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan beberapa syarat sebelum ia menyambung semula pemberian dana kepada agensi UNRWA.
Menurut wakil tetapnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield, UNRWA perlu melalui perubahan struktur susulan dakwaan kakitangannya terlibat dalam serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
"Kami mahu melihat perubahan struktur sebelum kami meneruskan pembiayaan langsung kepada UNRWA. Agensi ini telah memberikan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk Palestin dan UNRWA satu-satunya agensi di lapangan yang mempunyai kemampuan untuk memberikan bantuan.
"Kakitangan mereka juga telah menjalankan tugas dengan baik, menyelamatkan ribuan nyawa dan malangnya maklumat terbaru ini telah menimbulkan keraguan mengenai UNRWA.
"Kita tidak sepatutnya membiarkan maklumat ini menjejaskan usaha unrwa untuk menyelamatkan nyawa," katanya.
Sebelum ini dakwaan Israel berkaitan penglibatan kakitangan UNRWA dalam serangan 7 Oktober menyebabkan beberapa negara menggantung pembiayaan dana kepada badan itu.
Dalam pada itu, Majlis Keselamatan PBB menyatakan kebimbangan berkaitan situasi kemanusiaan terkini di Gaza susulan perkembangan terkini ini.
UNRWA dalam satu kenyataan memaklumkan mungkin terpaksa menghentikan operasi kemanusiaan di Gaza sekiranya tidak lagi menerima dana dari negara asing.
#UNRWA #Linda Thomas-Greenfield #Palestin #Hamas
;