AS mahu Israel buka lintasan bantuan kemanusiaan baharu
Astro Awani
Mac 6, 2024 08:30 MYT
Mac 6, 2024 08:30 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang melihat alternatif bantuan ketenteraan dan komersial untuk memindahkan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi jalan laut.
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby, memberitahu bahawa laluan maritim boleh menggerakkan lebih banyak bantuan.
Bagaimanapun, kaedah ini lebih sukar dari sudut logistik dan kaedah konvensional menggunakan lori adalah cara terbaik.
"Ini akan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan dengan rakan kongsi antarabangsa kami untuk meningkatkan jumlah bantuan menyelamatkan nyawa ke Gaza.
"Kami sedang meneroka saluran lain untuk memberikan bantuan ke Gaza, termasuk laluan maritim. Untuk itu, kami sedang melihat pilihan ketenteraan dan komersial untuk memindahkan bantuan melalui laut.
"Kami juga akan terus menggesa Israel untuk memudahkan lebih banyak trak dan lebih banyak laluan, membuka lebih banyak lintasan supaya lebih banyak bantuan boleh disalurkan kepada orang yang memerlukan dan meningkatkan aliran itu," katanya.
Washington kini mahu melihat satu lagi laluan bantuan kemanusian ke Gaza dibuka oleh Israel, yang sekarang ini menyekat semua laluan termasuk di Rafah.
Justeru, sekutu terdekat Israel ini akan berbincang dengan rakan sejawatannya dari Israel untuk memastikan lebih banyak bantuan disalurkan.
Ketiadaan bekalan bantuan menyebabkan Gaza dilanda kebuluran dan terputus sepenuhnya daripada bantuan makanan.
Sebilangan kecil hospital di Gaza yang berfungsi sedang dibanjiri oleh mereka yang cedera, namun kini dipenuhi dengan kanak-kanak yang mati kelaparan.