Mahmoud Abbas seru hentikan 'kegilaan' ke atas rakyat Palestin

Agensi
Oktober 12, 2023 21:10 MYT
Raja Abdullah II mengadakan pertemuan dengan Mahmoud Abbas di Amman, Jordan, 12 Okt 2023. - Foto REUTERS
PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas menghadap Raja Jordan, Raja Abdullah II pada Khamis dan menyeru kepada penghentian segera ‘kegilaan’ menyeluruh terhadap rakyat Palestin.
Ini merupakan kali pertama Abbas bercakap secara terbuka sejak serangan mengejutkan oleh Hamas ke atas Israel pada Sabtu lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Presiden, Abbas menolak "amalan berkaitan membunuh orang awam atau menyalahgunakan mereka di kedua-dua pihak."
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Amman, Jordan untuk membincangkan "cara-cara menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan memberikan bantuan" kepada Gaza.
Menurut kenyataan itu, beliau juga menekankan bahawa rakyat Palestin "menolak keganasan dan mematuhi legitimasi antarabangsa".
Tegasnya, serangan ke atas orang awam oleh pasukan Israel dan Palestin "melanggar moral, agama dan undang-undang antarabangsa." - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Presiden Mahmoud Abbas #rakyat Palestin #hentikan kegilaan