Mahmoud Abbas gelar duta AS ke Israel 'anak anjing'
Agensi
Mac 21, 2018 10:49 MYT
Mac 21, 2018 10:49 MYT
Mahmoud Abbas pada Isnin menggelar duta Amerika Syarikat (AS) di Israel sebagai ‘anak anjing’ berikutan sokongan beliau terhadap pendudukan Israel di Palestin.
Berucap dalam satu perhimpunan pemimpin, Presiden Palestin itu mendakwa Duta AS David Friedman telah mempertahankan tindakan Israel yang terus memperluaskan petempatan haram mereka di Tebing Barat.
Dengan nada yang marah, Abbas berkata, “Anak anjing itu kata mereka bina petempatan di tanah milik mereka? Dia adalah orang yang menceroboh, keluarganya juga penceroboh, dan dia Duta AS di Tel Aviv! Apa yang boleh kita harap dari dia?”
Friedman merupakan antara penyokong kuat pendudukan Israel dan keputusan dibuat Trump dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember tahun lepas.
Mengulas tuduhan itu dalam satu ucapan pada persidangan menentang anti-Semitisme di Baitulmaqdis, Friedman berkata: “Dia merujuk saya sebagai anak anjing. Adakah ia anti-Semitisme atau satu wacana politik? Bukan hak saya untuk menilai, terpulang kepada anda."
Sementara itu, Duta Khas AS ke Timur Tengah Jason Greenblatt mengkritik gelaran yang telah diberikan Abbas, menyifatkannya "sangat tidak beradab".
Katanya, pemimpin Palestin itu perlu memilih antara retorik yang membawa kebencian atau usaha yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.