Mahkamah Tinggi Singapura benarkan penangguhan interim hukuman mati warga Malaysia IQ rendah
Agensi
Februari 16, 2022 17:58 MYT
Februari 16, 2022 17:58 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Singapura telah membenarkan penangguhan sementara bagi hukuman mati ke atas Pausi Jefridin, warga Malaysia dengan tahap IQ rendah atau lembam, dan warga Singapura Roslan Bakar hari ini, susulan satu rayuan yang difailkan.
Pausi dan Roslan, yang juga mempunyai tahap IQ rendah, dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah pada 2010 dan dijadualkan dihukum gantung hari ini.
Peguam Pausi dan Roslan telah memfailkan semakan kehakiman baharu petang semalam (Selasa) dalam usaha untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mereka, selepas percubaan serupa pada hari yang sama telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.
Kedua-duanya berada dalam senarai menunggu hukuman mati sejak 12 tahun lalu dan mereka dilaporkan hanya dimaklumkan tentang hukuman yang bakal dilaksanakan hari ini pada minggu lalu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Singapura tidak melaksanakan hukuman mati terhadap mereka.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) bahawa walaupun Pausi disahkan kurang upaya intelektual dengan IQ pada tahap 67, masalah kurang upaya itu ditolak hakim mahkamah.
Seorang lagi warga Malaysia dengan IQ rendah, Nagaenthran K Dharmalingam, turut berdepan hukuman mati pada 10 November 2021.
Namun, dia diberi penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Rayuan dan bakal berdepan proses rayuan.