Mahkamah Tinggi Pakistan perintah usul undi tidak percaya terhadap PM diteruskan

Bernama
April 8, 2022 21:40 MYT
Imran, yang menjadi perdana menteri pada 2018, dilihat tidak mampu mempertahankan jawatan sekiranya usul itu menerima 172 undi dari anggota parlimen pada Sabtu ini. - Gambar fail/ Reuters
NEW DELHI: Mahkamah Tinggi Pakistan pada Khamis membatalkan keputusan timbalan speaker Dewan Negara yang menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Imran Khan, sekali gus menjadikan landskap politik negara kembali bercelaru.
Panel lima hakim sebulat suara memutuskan sidang Parlimen perlu diadakan semula pada Sabtu untuk mengundi usul pembangkang terhadap parti pemerintah Tehreek-e-Insaf (PTI).
Selain itu, mahkamah turut membatalkan pembubaran Dewan Rakyat. Dewan itu dibubarkan Presiden Arif Alvi pada 3 April atas nasihat perdana menteri sejurus selepas timbalan speaker, Qasim Khan Suri menolak usul berkenaan.
Mahkamah Tinggi yang diketuai Ketua Hakim Negara Umar Ata Bandial memutuskan bahawa pembubaran Parlimen dan pilihan raya baharu sebagai tidak sah.
Keputusan itu membuka lembaran baharu episod perebutan kuasa antara PTI dan pakatan pembangkang Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM), terdiri dua parti politik utama iaitu, Pakistan Muslim League-Nawaz (PLM-N) dan Pakistan People's Party (PPP).
Imran, yang menjadi perdana menteri pada 2018, dilihat tidak mampu mempertahankan jawatan sekiranya usul itu menerima 172 undi dari anggota parlimen pada Sabtu ini.
Tatkala pembangkang berpuas hati dengan keputusan itu, pemimpin PTI berikrar berikrar terus berjuang untuk menentang campur tangan kuasa asing.
Imran, bekas pemain kriket itu, sejak kebelakangan ini mendakwa terdapat kuasa Barat yang cuba menghalang Pakistan daripada melaksanakan dasar luar yang bebas.
Beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan PTI pada Jumaat dan dijadual menyampaikan ucapan pada sebelah malam.
"Saya akan terus berjuang untuk Pakistan sehingga titisan terakhir," kata perdana menteri selepas keputusan mahkamah diumumkan.
-- BERNAMA
#Pakistan #Imran Khan #keputusan mahkamah tinggi #Usul tidak percaya
;