Mahkamah Thai putuskan pilihan raya 2 Feb boleh ditangguh
AFP
Januari 24, 2014 19:05 MYT
Januari 24, 2014 19:05 MYT
Mahkamah Perlembagaan Thailand menyerahkan kepada perdana menteri dan suruhanjaya pilihan raya negara itu untuk menentukan keputusan sama ada perlu atau tidak pilihan raya umum ditangguhkan kerana kekacauan politik.
Mahkamah itu memutuskan pilihan raya yang dijadual diadakan pada 2 Februari itu boleh ditangguh tetapi keputusannya mengenainya adalah tanggungjawab bersama Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan pengerusi suruhanjaya.
Yingluck kini berdepan tekanan supaya berundur selepas hampir tiga bulan tunjuk perasaan jalanan bertujuan mengguling kerajaannya yang dipilih oleh rakyat dan digantikan dengan kerajaan sementara yang dinamakan "majlis rakyat".
Sehingga ini, sembilan orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera sejak protes itu berlangsung pada akhir Oktober lepas.
Parti pembangkang utama memulaukan pilihan raya itu. Penunjuk perasaan pula berikrar akan mengganggu proses pengundian dan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya dibuat dalam masa 18 bulan.
Kerajaan sebelum ini menolak cadangan suruhanjaya pilihan raya untuk menangguhkan pemilihan tersebut. Ia berpendapat pilihan raya perlu diadakan tidak lebih daripada 60 hari daripada pembubaran parlimen iaitu pada awal Disember, sepertimana yang ditetapkan dalam undang-undang.
Pemimpin penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban pada Khamis mengancam akan "menutup semua jalan" menuju ke pusat pengundian dan menegaskan pilihan raya itu tidak sepatutnya diadakan.
Sesetengah kawasan parlimen tidak akan menyaksikan pertandingan kerana penunjuk perasaan mengganggu proses penamaan calon. Ini menyebabkan biarpun parti Pheu Thai pimpinan Yingluck menang, ia mungkin tidak cukup ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.
Thailand tercampak dalam krisis politik yang berpanjangan sejak bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, abang kepada Yingluck, digulingkan oleh tentera lebih tujuh tahun lalu.
Penunjuk perasaan melancarkan kempen melumpuhkan kota Bangkok sejak 13 Januari lalu dengan membuat rapat umum dan sekatan jalan raya di beberapa persimpangan utama jalan di tengah-tengah ibu negara itu.
Sehari kemudian, kerajaan mengumumkan perintah darurat selama 60 hari di Bangkok dan beberapa kawasan sekitar bagi mengelakkan keadaan lebih huru-hara.