Mahkamah Thai isytihar pilihan raya 2 Feb tidak sah

Bernama
Mac 21, 2014 16:35 MYT
Gambar Fail
Mahkamah Perlembagaan Thailand mengisytiharkan pada Jumaat pilihan raya umum 2 Feb sebagai tidak sah, berkemungkinan memanjangkan lagi krisis politik selain penantian bagi pembentukan kerajaan baharu.
Keputusan itu dianggap sebagai tamparan buat Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra memandangkan parti pimpinannya, Pheu Thai Party, dijangka memenangi pilihan raya yang masih belum selesai itu berikutan gangguan oleh penunjuk perasaan antikerajaan.
Mahkamah dalam keputusan majoriti 6-3 mengumumkan sekitar 12 tengah hari bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah disebabkan ia tidak diadakan pada hari sama di seluruh negara seperti yang diperuntukkan undang-undang.
Satu lagi sebab ialah pilihan raya di 28 kawasan di wilayah selatan tidak boleh diadakan setelah ketiadaan calon berikutan tindakan penunjuk perasaan menghalang bakal calon daripada mendaftarkan diri pada hari pendaftaran.
Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab untuk berbincang dengan Yingluck bagi menentukan tarikh baharu pilihan raya dan memohon titah diraja.
Ini membuka peluang kepada kumpulan pembangkang utama yang memulau pilihan raya 2 Feb lepas untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya baharu kelak.
Sehingga kini, kerajaan Yingluck hanya mempunyai status kerajaan sementara dengan kuasa terhad disebabkan pilihan raya 2 Feb belum selesai di samping pilihan raya semula dirancang untuk diadakan di beberapa wilayah pada April ini.
Dewan Rakyat Thailand memperuntukkan 375 kerusi yang wakilnya dipilih menerusi sistem senarai parti dan sistem perlembagaan -- BERNAMA
#Bangkok #pilihan raya #protes #Thailand #Yingluck
;