Mahkamah tentera Thailand keluar dua waran tangkap susulan insiden keganasan

Bernama
September 2, 2016 21:22 MYT
Baru-baru ini, mahkamah tentera mengeluarkan tiga waran tangkap ke atas suspek-suspek susulan insiden keganasan di Phuket dan Hua Hin. - Gambar fail
Mahkamah tentera Thailand mengeluarkan waran tangkap ke atas dua suspek susulan insiden pengeboman dan perbuatan khianat di tujuh wilayah di selatan negara itu baru-baru ini.
Polis Diraja Thailand dalam satu kenyataan hari ini berkata, waran tangkap dikeluarkan oleh Bahagian 43 Ketenteraan dan Divisyen 41 Tentera Diraja Thai Nakhorn Si Thammarat.
"Secara keseluruhan, mahkamah tentera telahpun mengeluarkan lima waran tangkap setakat ini," kata kenyataan itu berhubung keganasan tiga minggu lepas yang menyebabkan empat orang maut dan lebih 30 lagi cedera termasuk 10 pelancong asing.
Waran tangkap pertama dikeluarkan ke atas Hakim Dohlah, 32, dari daerah Muang di Pattani kerana memiliki bahan letupan tanpa kebenaran dan bagi letupan dan perbuatan khianat di Tesco Lotus, Nakhorn Si Thammarat.
Waran tangkap kedua dikeluarkan ke atas Abdulkade Salae, 36, dari daerah Yaring di Pattani kerana perbuatan khianat di Lee Supermarket, wilayah Trang.
Baru-baru ini, mahkamah tentera mengeluarkan tiga waran tangkap ke atas suspek-suspek susulan insiden keganasan di Phuket dan Hua Hin.
#keganasan #kejadian serangan #mahkamah tentera Thailand #pengganas #waran tangkap
;