Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan mulakan pra-perbicaraan ke atas Presiden Yoon

Bernama
Disember 27, 2024 18:00 MYT
Usul pemecatan terhadap Yoon diluluskan oleh Dewan Negara pada 14 Dis dan diserahkan kepada Mahkamah Perlembagaan untuk dipertimbangkan dalam tempoh sehingga 180 hari. - Gambar fail/The Presidential Office/Handout via Reuters
SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memulakan sesi pra-perbicaraan pertama pada Jumaat membabitkan Presiden Yoon Suk-yeol, susulan usul pemecatan yang diluluskan oleh Parlimen awal bulan ini berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon.
Sesi itu bermula sekitar 2.15 petang waktu tempatan bagi membolehkan wakil peguam Yoon dan Dewan Negara menyerahkan senarai saksi serta bukti, serta menetapkan tarikh untuk prosiding seterusnya, lapor Xinhua.
Dewan Negara diwakili oleh ketua jawatankuasa perundangan dan kehakiman bersama beberapa peguam lain, manakala pihak Yoon melantik pasukan peguam bela beberapa jam sebelum sesi pra-perbicaraan berlangsung.
Yoon menegaskan bahawa pengisytiharan undang-undang tentera itu adalah tindakan pentadbiran, namun Dewan Negara menyifatkannya sebagai satu bentuk pemberontakan.
Usul pemecatan terhadap Yoon diluluskan oleh Dewan Negara pada 14 Dis dan diserahkan kepada Mahkamah Perlembagaan untuk dipertimbangkan dalam tempoh sehingga 180 hari.
Sepanjang tempoh itu, kuasa presiden Yoon akan digantung.
Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam 3 Dis tetapi ia dibatalkan oleh Dewan Negara beberapa jam kemudian.
-- BERNAMA
#Dewan Negara #kuasa presiden #mahkamah perlembagaan #undang-undang tentera
;