Mahkamah Pakistan tangguh sekali lagi pendengaran Perdana Menteri bubar Parlimen
Astro Awani
April 5, 2022 22:03 MYT
April 5, 2022 22:03 MYT
MAHKAMAH Agung Pakistan sekali lagi menangguhkan pendengaran hujah sama ada Perdana Menteri Imran Khan mempunyai hak dari segi undang-undang untuk membubarkan Parlimen dan menggesa pilihan raya awal.
Ia ditangguhkan sehingga Rabu untuk mendengar hujah kedua-dua pihak.
Pada Ahad, Timbalan Speaker Qasim Suri menolak usul undi tidak percaya terhadap Imran dengan alasan ia tidak berperlembagaan.
Imran mendakwa usul undi tidak percaya terhadap beliau merupakan sebahagian konspirasi diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya, namun dakwaan tersebut dinafikan AS.
Beberapa ahli politik pembangkang memfailkan petisyen di Mahkamah Agung untuk memutuskan sama ada tindakan menyekat usul undi tidak percaya berlandaskan Perlembagaan negara.
Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi membubarkan Parlimen bagi memberi laluan untuk pilihan raya umum diadakan lebih awal di negara itu.
Pembubaran itu dilakukan atas nasihat Imran sekali gus menggagalkan usaha pembangkang untuk menyingkirkan pemimpin tersebut daripada jawatan tertinggi itu.
Dalam pada itu, Imran dilaporkan akan mengetuai bantahan dekat Perhimpunan Negara bagi menentang 'komplot asing' untuk menggulingkan kerajaan pimpinannya.
Imran juga telah mencadangkan bekas Hakim CJP (B) Gulzar Ahmed sebagai Perdana Menteri sementara.