Mahkamah Pakistan tangguh hukuman Imran Khan

Bernama
Ogos 29, 2023 18:20 MYT
Sebuah mahkamah Pakistan pada Selasa menangguhkan hukuman penjara tiga tahun bekas Perdana Menteri Imran Khan, memerintahkan pembebasannya dengan ikat jamin. - Gambar fail/AP
KARACHI (Pakistan): Sebuah mahkamah Pakistan pada Selasa menangguhkan hukuman penjara tiga tahun bekas Perdana Menteri Imran Khan, memerintahkan pembebasannya dengan ikat jamin.
Dua hakim Mahkamah Tinggi Islamabad diketuai oleh Hakim Aamer Farooq, yang menangguhkan penghakiman pada Isnin, mengumumkan perintah singkat itu, lapor Agensi Anadolu.
Khan dijatuhi hukuman oleh mahkamah di Islamabad awal bulan ini kerana menyembunyikan butiran hadiah dari luar negara yang diterimanya selama hampir empat tahun berkhidmat. Akibatnya, beliau dihalang daripada memegang jawatan awam selama lima tahun oleh suruhanjaya pilihan raya.
Pemain kriket yang menjadi ahli politik itu dan kini menghadapi beberapa kes di mahkamah, telah disingkirkan melalui undi tidak percaya pada April 2022. Beliau kini ditahan di bandar Attock di wilayah barat laut.
-- BERNAMA
#Imran Khan #mahkamah Pakistan #tangguh hukuman #bekas perdana menteri Pakistan
;