Mahkamah Pakistan gugur kes hina mahkamah Imran Khan

Bernama
Oktober 3, 2022 00:27 MYT
Mahkamah Tinggi Islamabad menarik balik notis tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Imran. - Gambar/ Reuters
NEW DELHI: Mahkamah Pakistan pada Isnin melepaskan bekas perdana menteri Imran Khan daripada pertuduhan menghina berhubung kenyataan kontroversinya mengenai seorang hakim.
Mahkamah Tinggi Islamabad menarik balik notis tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Imran, pemimpin Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan, berikutan permohonan maaf bertulisnya berhubung perkara itu.
Berucap pada perhimpunan besar-besaran di Islamabad pada Ogos, Imran dalam nada marah mengkritik hakim mahkamah rendah yang mengarahkan pembantunya Shehbaz Gill, ditahan semula.
Imran mendakwa Gill sebelum ini diseksa dalam tahanan.
Satu panel yang diketuai Hakim Mahkamah Tinggi Islamabad Athar Minallah memutuskan untuk menggugurkan kes itu selepas Imran menyerahkan afidavit memohon maaf atas kenyataannya.
Bekas perdana menteri itu, yang popularitinya meningkat sejak penyingkirannya dalam undi tidak percaya pada April, juga hadir di Mahkamah Sesyen pada Jumaat lalu untuk memohon maaf secara peribadi kepada hakim wanita yang disebutnya semasa perhimpunan terbabit.
Pengguguran kes penghinaan itu melegakan Imran yang kini berkempen di seluruh negara untuk menuntut pilihan raya umum baharu dijalankan.
Jika disabitkan dengan kes itu, Imran tidak boleh bertanding dalam pilihan raya dan memegang jawatan awam selama lima tahun.
-- BERNAMA
#Pakistan #Imran Khan #hina mahkamah #keputusan mahkamah
;