Mahkamah Korea Selatan perintah penahanan rasmi Presiden Yoon

Bernama
Januari 19, 2025 10:30 MYT
Sebuah konvoi yang dipercayai membawa Presiden Korea Selatan yang telah didakwa, Yoon Suk Yeol, berlepas dari sebuah mahkamah di Seoul, Korea Selatan, pada Sabtu. - Gambar Reuters
SEOUL: Sebuah mahkamah di Seoul mengeluarkan waran untuk menahan secara rasmi Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol atas pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal bulan lalu.
Ini menandakan kali pertama dalam sejarah seorang Presiden Korea Selatan yang sedang berkhidmat ditahan, lapor agensi berita Yonhap.
Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan waran berkenaan dengan alasan kebimbangan terhadap kemungkinan pengubahan bukti.
Yoon berdepan tuduhan pemberontakan dan salah guna kuasa kerana mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu dan didakwa mengerahkan tentera untuk menghalang ahli Parlimen daripada membatalkan dekri itu.
Dengan waran itu, Yoon akan kekal dalam tahanan sehingga 20 hari, termasuk tempoh yang beliau lalui sejak ditahan di kediamannya di Seoul pada Rabu lalu.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) akan menahannya selama 10 hari sebelum menyerahkan kes itu kepada pihak pendakwaan, yang dijangka mengemukakan pertuduhan rasmi sebelum tarikh akhir.
Peguam Yoon berhujah bahawa tindakan undang-undang tentera itu adalah keputusan tadbir urus yang sah untuk menangani krisis politik yang dicetuskan oleh pemecatan anggota Kabinet yang diterajui pembangkang dan kebuntuan dalam badan perundangan.
Selepas keputusan mahkamah itu, konfrontasi berlaku antara penyokong Yoon dan pihak polis, dengan penunjuk perasaan menyerbu bangunan mahkamah dan membaling objek ke arah pegawai.
Sementara itu, pengkritik Yoon menyambut baik keputusan itu, menyifatkannya sebagai kemenangan bagi kedaulatan undang-undang.
Kuasa Presiden Yoon kekal digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan sama ada untuk mengembalikan jawatan atau memecatnya. - BERNAMA
#Presiden Korea Selatan #Yoon Suk Yeol #mahkamah Korea Selatan #undang-undang tentera
;