Mahkamah Korea Selatan akan dengar permohonan batal penahanan Yoon minggu depan

Bernama
Februari 10, 2025 06:15 MYT
Yoon ketika hadir di Mahkamah Perlembagaan di Seoul, Korea Selatan, 23 Jan 2025. - Gambar fail/REUTERS
SEOUL: Sebuah mahkamah Korea Selatan akan mendengar sama ada akan membatalkan penahanan Presiden yang didakwa, Yoon Suk Yeol pada minggu depan, menurut sumber pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul telah menetapkan 20 Feb sebagai tarikh pendengaran bagi menyemak permohonan Yoon untuk membatalkan penahanannya dan membebaskannya.
Pendengaran itu akan diadakan serentak dengan sesi pendengaran persediaan pertama bagi perbicaraan jenayahnya yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal.
Bagaimanapun, masih tidak diketahui sama ada Yoon akan hadir secara peribadi.
Yoon didakwa pada 26 Jan atas tuduhan mengetuai pemberontakan melalui pelaksanaan undang-undang tentera secara singkat pada 3 Dis.
Beliau telah ditahan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara, sejak penyiasat menahannya di kediaman rasminya pada 15 Jan.
-- BERNAMA
#Yoon Suk Yeol #Pusat Tahanan Seoul #Korea Selatan #jenayah #perbicaraan
;