Mahkamah Kanada arah Iran bayar pampasan kepada enam keluarga

Astro Awani
Januari 5, 2022 06:22 MYT
Orang ramai mengadakan perhimpunan di hadapan Amri Kabir University, mengenang mangsa kejadian pesawat Ukraine yang ditembak jatuh, di Tehran, Iran, 11 Jan 2020. (Gambar fail AP)
MAHKAMAH di Ontario, Kanada, mengarahkan Iran membayar ganti rugi berjumlah AS$83.94 juta (C$107 juta), bersama faedah, kepada keluarga enam penumpang yang maut.
Ia susulan tindakan pengawal Revolusi Iran menjatuhkan pesawat Ukraine International Airlines dekat Tehran dua tahun lalu.
Iran yang menembak jatuh pesawat itu pada Jan 2020, telah mengakibatkan kesemua 176 penumpang dan kru terkorban termasuk 55 warga Kanada dan 30 penduduk tetap.
Enam ahli keluarga yang diberikan pampasan oleh Mahkamah Ontario kehilangan pasangan, adik-beradik, anak dan anak saudara yang berada dalam penerbangan PS752 itu.
Kesemua mereka telah memfailkan saman sivil terhadap Iran dan pegawai lain yang dipercayai menyebabkan kejadian itu.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan bagaimana ahli keluarga yang terlibat akan membuat tuntutan itu daripada kerajaan Iran.
Pasukan peguam yang mengendalikan kes itu menegaskan, pihaknya akan berusaha mendapatkan perintah mahkamah bagi merampas aset Iran di Kanada dan di luar negara.
#Iran #pesawat Ukraine #pampasan #mahkamah Kanada
;