Mahkamah: Justo tidak dibenar diikat jamin
Bernama
Oktober 26, 2015 19:27 MYT
Oktober 26, 2015 19:27 MYT
Warga Switzerland Xavier Andre Justo yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memeras ugut bekas majikannya, tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu rayuannya terhadap hukuman penjara itu diputuskan.
Justo hadir di Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan bagi pendengaran permohonannya itu dengan diiringi tujuh pegawai koreksional serta peguam belanya warga Thailand Worasit Piriyawiboon.
Beliau gagal dalam permohonan untuk diikat jamin berikutan pihak mahkamah bimbang beliau akan menggunakan peluang itu melarikan diri dari Thailand.
Worasit memberitahu Bernama yang beliau akan mengemukakan permohonan baharu ikat jamin untuk anak guamnya itu pada minggu depan.
Permohonan ikat jamin itu yang menawarkan jaminan satu juta baht dikemukakan pada 14 Okt berserta rayuan terhadap hukuman penjara tiga tahun terhadap Justo yang diputuskan pada 17 Ogos.
Kes Justo menjadi perhatian di Malaysia kerana beliau telah mencuri 90 gigabytes data daripada PetroSaudi International dan memberikan salinannya kepada editor dan pengasas portal berita Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown serta pemilik Edge Media Group Tong Kooi Ong.
Polis Malaysia turut berminat untuk menemu bual Justo mengenai hubungannya dengan mereka kerana data itu turut mengandungi urusan perniagaan antara PetroSaudi International dan 1Malaysia Development Berhad, dan wujud dakwaan bahawa data itu telah diubah suai.
Justo menafikan telah mengubah suai data itu dan menyatakan sebarang pengubahsuaian dilakukan oleh pihak lain.
1Malaysia Development Berhad menjadi tumpuan di Malaysia berhubung urus niaganya.